Anwar Ibrahim - Dakwa PH Beri Laluan Pada Kumpulan Dr M Di PRK Slim Mengelirukan | Malaysia Top News
August 12, 2020

Anwar Ibrahim – Dakwa PH beri laluan pada kumpulan Dr M di PRK Slim mengelirukan

Port Dickson, MTN – Pakatan Harapan (PH) menafikan telah menyerahkan kepada kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu masih dibincangkan oleh PH dan bekas perdana menteri berkenaan, serta keputusan dijangka diumum Selasa ini.

Pakatan Harapan (PH) masih belum memutuskan untuk bekerjasama dengan kumpulan Bersatu yang diketuai Anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya kecil (PRK) Slim.

Anwar berkata demikian selepas senator Marzuki Yahya mengumumkan ‘Bersatu Blackout’ akan bertanding dalam PRK itu bagi menentang calon Perikatan Nasional (PN).

Marzuki sebelum ini mendakwa seorang ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberitahunya bahawa gabungan pembangkang itu tidak akan bertanding pada PRK itu nanti.

“Ia mengelirukan apabila (mantan) setiausaha agung (Bersatu) mengatakan kami beralah dengan mereka.

“Tidak. Pendirian kita adalah kita berunding dengan mereka – apa pendirian mereka. Kemudian pada hari Selasa, PH akan bertemu untuk memutuskannya,” kata Anwar kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Anwar juga mengakui PH telah menghantar seorang wakil untuk berunding dengan kumpulan Mahathir tetapi tetap mempertahankan keputusan yang akan dibuat minggu depan.

“Kami perlu putuskan terlebih dahulu, sebagai PH, untuk berunding dengan kumpulan Mahthir kerana mereka bertanding pada PRK yang lalu,” katanya.

Anwar berkata, PH telah memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRK Chini sebelum ini tetapi keadaannya berbeza sekarang.

“Pada pilihan raya kecil yang lalu di Chini, tentunya kebimbangan kita adalah mengenai Covid-19 dan ruang lingkup kempen sangat terbatas sehingga kita memutuskan untuk tidak meletakkan calon kita.

“Tetapi kita harus mengkaji semula keputusan itu. Kita akan keluarkan keputusan itu pada Selasa,” katanya.

Kerusi Dun Slim kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya, Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Beliau merupakan Adun yang mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal iaitu sejak 2004.

Pada PRU ke-15 lalu Khusairi menewaskan calon PH, Mohd Amran Ibrahim; serta Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS.

Allahyarham, yang bertanding atas tiket Bersatu memperoleh 8,327 undi dengan majoriti 2,183 undi.

Terdapat lebih 23,300 pengundi berdaftar di DUN berkenaan.

Bersatu kini bekerjasama dengan BN dan PAS untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada 16 Julai lalu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata parti itu akan meletakkan calon di PRK berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini. [MK]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •