Anwar Ibrahim Kesal Cara Negara Dipimpin Ketika Rakyat Dirundung Petaka Banjir | Malaysia News

Anwar Ibrahim kesal cara negara dipimpin ketika rakyat dirundung petaka banjir

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim kesal cara negara dipimpin ketika rakyat dirundung petaka banjir

MTN – Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyatakan rasa kesal dengan sikap dan cara negara dipimpin ketika rakyat berbilang kaum sedang dirundung malapetaka banjjr.

Jelasnya, kelemahan-kelemahan utama berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana kini terpampang jelas.

“Tindakan lembab kerajaan persekutuan terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ditambah pula dengan penyelerasan yang kucar-kacir dengan pihak kerajaan serta dengan agensi-agensi tempatan ternyata merumitkan krisis ini kepada rakyat dan menjadikan ia satu malapetaka tadbir urus juga.

“Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memungkinkan beberapa pegawai untuk bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu warga yang terkesan.

“Penyelarasan yang lemah antara pasukan sukarelawan dan ATM hanya menambah kekeliruan dan kekecewaan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Anwar yang juga presiden PKR mengulas situasi banjir dihadapi negara khususnya di Lembah Klang.

Setakat hari ini katanya, 17 mangsa dilaporkan maut di Selangor dan lapan mangsa di Pahang, manakala lebih 60,000 lagi kehilangan tempat tinggal tanpa ada jaminan jelas mengenai keadaan rumah dan tahap kelangsungan hidup selepas banjir surut.

Tambahnya, krisis ini mimpi buruk yang nyata kepada perdana menteri tatkala malapetaka tadbir urus ini menjadi latar 100 hari pentadbirannya.

“Kegagalan demi kegagalan dalam mengurus bencana ini hanya menonjolkan tahap keupayaan sebenar kerajaan yang dikemudi beliau.

“Kerajaan dan pimpinan yang gagal menonjolkan kebersamaan dengan rakyat sedari awal bencana ini, tidak akan mampu memberi keyakinan kepada kita semua bahawa mereka juga mampu melonjakkan negara ke arah pemulihan dari musibah ini, termasuk masalah wabak yang masih mengganas,” tegasnya.

Mengulas lanjut anggota parlimen Port Dickson itu turut mengagumi semangat kekeluargaan sebenar yang telah ditonjolkan rakyat berbilang kaum ketika pemimpin-pemimpin utama kerajaan sibuk bermesyuarat.

Sewaktu turun mengagihkan bantuan kepada rakyat yang terkandas, Anwar berkata dia turut mendengar dan menyaksikan sendiri babak-babak yang luar biasa memaparkan sikap belas dan keprihatinan.

“Saya turut berkongsi kekecewaan mereka berhubung kelemahan kerajaan dalam krisis ini.

“Perubahan iklim dan tahap kesedaran kita yang lemah terhadap peranan dan kepentingan alam sekitar akan menyaksikan peningkatan yang amat dahsyat terutamanya dalam aspek keberlakuan bencana alam di masa hadapan.

“Kita tidak mampu untuk memikir dan menyiasat apa yang menjadi punca kelemahan kita hujung minggu yang lalu,” kata Anwar.

Sehubungan itu jelasnya, perdana menteri mesti mengambil tindakan untuk segera menubuhkan suruhanjaya diraja termasuk jawatankuasa parlimen dalam menambahbaik tahap kesiapsiagaan bencana.

Selain itu, Anwar menuntut kerajaan membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai banjir dan tidak memandang remeh soal pemulihan sesudah banjir.

“Kerajaan mesti punyai sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi kepada orang ramai dan mesti mengadakan sidang media harian bagi mengemaskini situasi semasa banjir dan langkah menyelamat.

“Saya juga ingin mendesak kerajaan persekutuan untuk membetulkan ketempangan dalam Majlis Keselamatan Negeri Selangor di mana menteri besar mesti dikembalikan kuasa dan peranannya dalam mengemudi krisis ini,” katanya. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply