Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam | Malaysia News

Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam

Uyaina

Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam

Kuala Lumpur, MTN – Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 29, hampir membatalkan majlis pernikahan bersama Raja Syahiran, 28, di ibu negara, semalam, berikutan pelamin ditempah ditenggelami air dalam bencana banjir.

Namun, Uyaina atau nama sebenar, Saidatul Naseha Uyaina Arshad tetap meneruskan majlis pernikahan kerana baginya, urusan ijab dan kabul lebih diutamakan.

“Gudang yang menyimpan pelamin kami di Puchong, ditenggelami air kerana banjir. Jadi, mereka tidak boleh memasang pelamin untuk hari ini (semalam).

“Kami terpaksa berlapang dada dan reda apabila pelamin tidak jadi. Mujur ada ‘wedding planner’ yang sudi menjadi bidan terjun dan menyiapkan pelamin kami.

“Jadi semuanya dirancang, semalam. Kami bersyukur majlis pernikahan lancar.

“Kami tidak terkilan. Apa yang paling penting hubungan kami sudah sah. Dekorasi ini semua hanya sampingan. Paling penting urusan ijab dan kabul bersama keluarga tersayang,” katanya usai majls pernikahan di sebuah premis acara di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), semalam.

Uyaina berkata, dia dan suami berfikiran positif agar majlis pernikahan dapat berlangsung biarpun sederhana.

“Ketika negara dikejutkan dengan banjir dua hari lalu, kami sudah terduduk. Kami bercakap mengenai betapa dahsyatnya kisah perjalanan kami untuk menghalalkan hubungan ini.

“Saya tidak menangis langsung keadaan terjadi semua ini. Mungkin disebabkan Syahiran sentiasa bersama daripada persediaan majlis hingga hari ini.

“Kami buat semua bersama. Maka, apabila tidak menjadi, kami fikir benar, kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan,” katanya.

Uyaina berkata, majlis berinai dan tiket penerbangan ke Eropah yang sudah ditempah juga dilupakan.

“Saya hanya berinai dalam bilik. Penerbangan ke Eropah, lusa (esok) terpaksa dibatalkan kena risau varian Omicron.

“Apabila sudah reda, bila-bila sahaja kami boleh pergi.

“Buat masa ini, kami bercadang melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan ini. Kami mahu memperkenalkan diri kepada keluarga besar masing-masing,” katanya.

Pada jam 9.03 pagi semalam, pengacara Wanita Hari Ini (WHI) ini sah bergelar isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran.

Pasangan itu dinikahkan abang Uyaina, Mohd Attaful Uzair Arshad disaksikan Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Abd Nasir Abdullah serta dua saksi lain.

Raja Syahiran atau nama penuh, Raja Azhanrianshah menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.

Tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua-dua pihak dan mempelai memilih merahsiakan jumlah wang hantaran atas persetujuan keluarga.

 

[BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply