Anwar: Kerajaan Perlu Percepat Pinda Akta Berkaitan Pemandu Mabuk | Malaysia News

Anwar: Kerajaan Perlu Percepat Pinda Akta Berkaitan Pemandu Mabuk

Anwar: Kerajaan Perlu Percepat Pinda Akta Berkaitan Pemandu Mabuk

Kuala Lumpur, MTN – Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menyuarakan gesaan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempercepat pindaan undang-undang berkenaan kesalahan memandu ketika mabuk.

Dalam sesi Facebook Live, Anwar berkata hukuman sedia ada dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak memadai untuk menangani masalah litu.

“Di barat pun ada (negara) yang larang memandu apabila minum (alkohol) walaupun tak mabuk. Sebab bahaya itu ada.

“Jadi kerajaan perlu perketat undang-undang seperti yang dicadangkan oleh pentadbiran PH sebelum ini,” katanya.

Beliau yang kini pengerusi PH mengulas isu kemalangan maut melibatkan pemandu disyaki mabuk, yang kembali diperkatakan pada masa ini.

Beberapa kemalangan yang berlaku telah mencetuskan banyak pihak kembali menggesa hukuman terhadap pesalah ditingkatkan.

Pada masa ini, individu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan atau denda antara RM1,000 hingga RM6,000.

Individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan, boleh dihukum penjara antara tiga hingga sepuluh tahun dan didenda antara RM8,000 dan RM20,000.

Anwar berkata lagi, ia merupakan antara sebab sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin agar perkara penting seperti pindaan undang-undang boleh dibentang dan diluluskan.

“Masalah (bila) Parlimen tak bersidang. Kadang-kadang orang tanya kenapa kita desak Parlimen sidang segera.

“Kalau nak pinda akta, nak hukum pemandu mabuk…Nak ubah undang-undang baru (pindaan) melalui Parlimen,” katanya yang sekali lagi menggesa pindaan akta itu disegerakan.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangan berhubung kadar pengangguran yang semakin meningkat di Malaysia.

Beliau memetik unjuran oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (Mier) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang disifatkannya sebagai membimbangkan.

Mier menjangka kadar pengangguran sebanyak 9.2 peratus menjelang akhir tahun ini, manakala MEF pula menganggarkan 13 peratus.

“Ini bermakna antara setengah juta hingga sejuta yang akan menganggur, dibuang kerja. Ini sangat merungsingkan.”

Beliau menggesa kerajaan merangka rancangan lebih menyeluruh bagi menjana ekonomi dan pada masa sama masih mengutamakan keselamatan rakyat di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Ia boleh dilakukan dengan perbincangan yang lebih meluas untuk menghasilkan rancangan ekonomi yang lebih berdaya maju.

Menurutnya, walaupun kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana seperti subsidi upah, ia masih tidak memadai untuk meredakan kesan ekonomi susulan Covid-19.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply