Anwar: Pembangkang akan cabar pengisytiharan darurat
Anwar: Pembangkang akan cabar pengisytiharan darurat
Shah Alam, MTN – Pembangkang pada Ahad menyatakan akan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah.
Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan peguam telah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan untuk mencabar pengisytiharan berkenaan.
“Telah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Perlembagaan serta rakyat daripada salahguna kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Pada Selasa lalu, Anwar menyatakan sudah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua ahli Parlimen dan parti masing-masing.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, hari demi hari kerajaan pimpinan Muhyiddin semakin hilang wibawa dan keyakinan menyebabkannya ianya sukar untuk dipulihkan.
“Langkah mengisytiharkan darurat tampak terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas yang kukuh, langsung melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.
“Muhyiddin minta kita percaya dia tatkala kediktatoran beliau semakin menonjol. Keyakinan terhadap kepimpinan beliau juga semakin merosot tatkala seorang demi seorang ahli Parlimen menarik sokongan. Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini?” soalnya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, pengisytiharan darurat juga seperti tidak mempunyai kaitan dengan usaha dan upaya bagi melawan wabak Covid-19 sebaliknya hanya sebagai alat untuk terus berpaut pada kuasa dan kedudukan.
“Rakyat tidak mudah lupa kerajaan hari ini adalah kerajaan pintu belakang. Bolehkah kita percaya seorang individu yang mengkhianati Perdana Menterinya pada ketika itu, mengkhianati partinya sendiri, mengkhianati kawan-kawan dan yang paling dahsyat mengkhianati mandat rakyat? Individu begini yang kita diminta untuk percaya?,” dakwanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pengumuman demi pengumuman dibuat oleh kerajaan juga seolah-olah tidak mempunyai perancangan awal selain tidak jelas.
Anwar mendakwa, kesan daripada itu adalah panik dan ketidaktentuan serta Muhyiddin telah meletakkan negara ini dalam lembah percanggahan.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi acara tahunan yang sia-sia tanpa sebarang makna dan hasil. Apa yang kelihatan seolah bersyarat, namun nampaknya semacam akan kekal. Cakap-cakap tentang pemulihan ternyata omong kosong.
“Jadinya, kita sekarang ini kembali ke peringkat asal. Mula balik. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah diungkap Albert Einstein, ‘adalah sesuatu yang gila untuk mengulangi perkara yang sama sambil mengharapkan hasil yang berbeda’.
“Kerajaan pimpinan Muhyiddin hari ini telah meletakkan negara di lembah kegilaan,” katanya.
[sh]