Anwar Respon Kes Video Intim Yang Didakwa Melibatkan Azmin | Malaysia News

Anwar Respon Kes Video Intim Yang Didakwa Melibatkan Azmin

Anwar Respon Kes Video Intim Yang Didakwa Melibatkan Azmin

Presiden PKR Anwar Ibrahim dilihat dapat menerima keputusan peguam negara bahawa tiada pendakwaan dalam kes video intim yang didakwa melibatkan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Ini meskipun Anwar sebelum ini berkata menteri hal ehwal ekonomi itu perlu meletakkan jawatan sekiranya didapati terlibat dengan dakwaan klip video intim itu.

“Saya membaca kenyataan itu (peguam negara)… Saya fikir peguam negara membuat keputusan berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepadanya.

“Jadi, kita biarkan macam itu,” kata Anwar kepada pemberita ketika ditemui selepas forum yang dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman Peguam Negara Tommy Thomas pada Khamis lalu bahawa tiada pendakwaan akan dibuat berhubung kes video intim yang didakwa membabitkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Thomas berkata keputusan itu dibuat selepas pakar video forensik di Malaysia dan AS tidak dapat mengesahkan identiti individu dalam klip video itu.

Kenyataan Anwar agar Azmin meletakkan jawatan sekiranya terbukti terlibat dibuat pada Julai lalu, beberapa bulan sebelum kongres PKR, yang menyaksikan pergeseran antara penyokong kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu.

Azmin, yang mengumpulkan para penyokongnya di Kuala Lumpur pada 8 Disember – hari terakhir kongres PKR – menyorot kenyataan Anwar dengan berkata bahawa beliau sebelum ini mempertahankan bekas timbalan perdana menteri itu berhubung salah laku seksual yang dilemparkan kepadanya.

‘Peralihan kuasa mesti aman’

Sementara itu, Anwar juga berkata beliau menghargai kebimbangan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung peralihan kuasa perdana menteri.

“Saya fikir masalah ini mesti ditangani dengan baik.

“Kepentingan pentadbiran Dr Mahathir (Mohamad) mesti disokong, dan sokongan yang sama harus diberikan selepas peralihan,” kata Anwar.

“Ini bermakna peralihan mesti berlaku dengan aman,” katanya.

Rafizi pada Khamis lalu berkata jika Mahathir enggan memberikan komitmen terhadap peralihan kuasa menjelang awal tahun depan, tarikh persaraan yang jelas boleh dipaksakan ke atas perdana menteri itu.

Menurut Rafizi Ramli, PH mungkin terpaksa mengambil pendekatan tersebut kerana rakyat mula kehilangan sabar berhubung penyerahan jawatan perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar.

Sejak itu, Mahathir berkata tidak ada garis masa yang jelas untuk penyerahan jawatan perdana menteri, meski beliau berulang kali memberikan jaminan akan menghormati perjanjian itu.

Baru-baru ini, Mahathir berkata beliau hanya akan menyerahkan jawatan selepas forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang dianjurkan di Malaysia pada November tahun ini.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply