Rakaman Audio: Hormat Proses Undang-Undang, Kata Anwar | Malaysia News

Rakaman Audio: Hormat Proses Undang-Undang, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata proses undang-undang perlu dihormati dalam isu rakaman perbualan telefon Najib Razak yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Walaupun ada kebimbangan berkenaan ketidakadilan pada masa lalu, dan ini akan memperbaikinya (remedy), saya tetap rasa kita perlu hormat due process (proses undang-undang),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas forum anjuran Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada pendedahan rakaman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu akan menjejaskan proses mahkamah, beliau menjawab:

“Saya tidak pasti tetapi saya fikir wajar perkara ini diserahkan kepada polis dan dibawa ke mahkamah jika ada bukti yang dapat disahkan.”

Mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan susulan langkah SPRM itu, Anwar berpandangan ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya perlu memberi penjelasan lanjut.

“Ada kebimbangan isu kerahsiaan, (pengintipan) telefon antara suami dan isteri.Tetapi hujah (yang mengatakan) keadilan dapat ditegakkan dengan fakta dan maklumat yang didedahkan juga perlu diambil kira,” katanya lagi.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan rakaman audio beberapa perbualan telefon, berkaitan skandal 1MDB, antara Najib dan beberapa individu, termasuk isterinya Rosmah Mansor dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu seorang pegawai di Pejabat Peguam Negara.

Semua perbualan itu berlaku antara Januari hingga Julai 2016.

Ketika mendedahkan rakaman itu, Latheefa berkata ia diterima daripada sumber tidak dikenali awal bulan ini, dan ujian forensik memutuskan rakaman tersebut sebagai tulen dan tidak diubah.

Beliau kemudian berkata rakaman itu telah diserahkan kepada polis dan pendedahan kepada media dibuat atas faktor kepentingan awam.

Najib dalam reaksi awalnya berkata beliau terkejut dengan perkara itu dan kemudian menafikan dimarahi oleh Rosmah dalam salah satu rakaman.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah pula berkata pihaknya sedang menimbang untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap Latheefa dan SPRM.

Malaysiakini

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •   
  •  
  •  

Leave a Reply