PM: Dedah Rakaman Audio Sama Dengan Tunjuk Barang Rosmah Disita Polis | Malaysia News

PM: Dedah Rakaman Audio Sama Dengan Tunjuk Barang Rosmah Disita Polis

PM: Dedah Rakaman Audio Sama Dengan Tunjuk Barang Rosmah Disita Polis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan SPRM mendedahkan rakaman perbualan telefon Najib Razak adalah sama dengan tindakan polis menunjukkan barang yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu pada 2018.

Beberapa pihak sebelum ini membidas pendedahan rakaman audio oleh SPRM itu atas alasan bahawa ia boleh menjejaskan perbicaraan mahkamah berkaitan 1MDB dan SRC International.

“Saya sokong atau tidak sokong tidak penting. Yang penting sama ada benda tu (pendedahan rakaman audio) boleh buat.

“Dulu boleh buat, bila raid (kondominium) Pavilion. Kita dapati barang yang banyak dimiliki Rosmah (Mansor) dan Najib, kita tunjuk pada orang ramai. Kita tak sembunyi sampai perbicaraan,” katanya kepada pemberita di Langkawi.

Video ucapan Mahathir itu dimuat naik oleh Malaysia Gazette.

Polis menyerbu pangsapuri yang dikaitkan dengan Najib pada 18 Mei. Pada 27 Jun, polis mendedahkan pada sidang akhbar bahawa rampasan itu termasuk 2,200 cincin, 1,400 rantai, dan 567 beg tangan.

Bagaimanapun, sidang akhbar itu diadakan seminggu sebelum Najib didakwa di mahkamah berhubung pertuduhan melibatkan SRC International.

SPRM mempertahankan tindakan mendedahkan rakaman audio itu dengan berkata bahawa ia melibatkan kepentingan awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata rakaman audio berkenaan menimbulkan persoalan serius tentang “penyalahgunaan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah”.

Peguam Najib dalam perbicaraan jenayah 1MDB, Muhammad Shafee Abdullah, berkata mereka sedang mempertimbangkan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap SPRM dan Latheefa.

-Malaysiakini

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply