Anwar Ziarah Azmin: Doa Semoga Hubungan Baik Terus Kekal

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang baharu menjalani pembedahan, di rumahnya di Ampang, ketika hubungan ke­dua-duanya dikatakan retak khususnya selepas pemilihan parti itu.

Anwar hadir bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Turut serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Gambar perjumpaan mereka dikongsikan Amirudin bersama media hari ini.

Yang turut sama menemani Mohamed Azmin ialah isteri­nya, Datin Seri Shamsidar Taharin.

“Saya ditemani isteri bersama Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Shamsul Iskandar menziarahi Datuk Seri Azmin Ali di rumah beliau kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

“Saya mendoakan agar beliau sembuh dan dapat kembali menjalankan tugas,” kata Ami­rudin dalam kenyataan ringkasnya kepada media hari ini.

Hubungan antara Anwar de­ngan Mohamed Azmin yang sewaktu dahulu amat rapat dikatakan sudah berakhir terutamanya selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mengkritik Presiden PKR tersebut secara terbuka, yang disifatkan banyak pihak sebagai ‘membakar jambatan’.

Keadaan semakin panas apabila timbul pula khabar angin yang Mohamed Azmin bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, sehingga Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa menafikan perkara tersebut hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendoakan agar hubungan baik beliau bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus berkekalan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian dalam ciapan di akaun Twitter beliau selepas dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang batu di dalam hempedu di Hospital Gombak.

“Tawa dan riang, ceria dan mesra, hormat dan kasih, ukhuwwah dan sejati antara gambaran yang terpapar secara tulus di antara dua hati nurani insan ini @anwaribrahim dan @AzminAli pada pagi ini. Semoga berkekalan sepanjang zaman,” katanya, di sini semalam.

 

– Utusan

 

Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Post Author: ab bima

Leave a Reply