AS Menangguhkan Pemulangan Wang 1MDB Kepada Malaysia | Malaysia News

AS menangguhkan pemulangan wang 1MDB kepada Malaysia

AS menangguhkan pemulangan wang 1MDB kepada Malaysia

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) menangguhkan pemulangan AS$ 240 juta (RM 1 bilion) yang telah diseleweng daripada dana 1MBD.

Reuters memetik laporan salah seorang daripada dua sumber yang mengetahui secara langsung berkaitan kes itu berkata salah satu sebabnya adalah ketidakstabilan politik yang berlaku di Malaysia baru-baru ini.

Pergolakan politik berlaku apabila Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Februari ketika berumur 94 tahun.

Beliau digantikan pada 1 Mac oleh Muhyiddin Yassin, yang kini mengetuai kerajaan campuran yang disertai Umno, PAS dan GPS.

DOJ berkata lebih AS$4.5 bilion diselewengkan dari dana di bawah kawalan bekas perdana menteri yang juga bekas presiden Umno, yang kini sedang dalam perbicaraan kerana rasuah.

Sejak 2016, DOJ memfailkan saman sivil bagi merampas aset sekitar AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB.

Mei lalu, AS mula memulangkan dana berkenaan dengan pemulangan pertama sebanyak AS$200 juta (RM836 juta).

DOJ pada mulanya menetapkan untuk memulangkan dana-dana berkenaan kepada Malaysia pada 19 Februari, tetapi atas sebab-sebab teknikal, pemulangan tersebut tidak berlaku, kata dua sumber tersebut.

Sumber berkata jumlah dana dirampas adalah sekitar RM1 bilion (AS$240 juta).

Tetapi, setelah Mahathir letak jawatan, pemulangan dana tersebut ditangguhkan kerana ketidakpastian apa yang akan berlaku seterusnya, kata salah seorang sumber.

Kedua-dua sumber tidak mahu dikenali kerana tidak dibenarkan untuk bercakap dengan pihak media.

Jurucakap DOJ enggan memberikan sebarang komen.

Kementerian Kewangan Malaysia turut ditanyakan soalan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, namun tidak memberikan sebarang respons.

Sumber berkata mereka tidak tahu langkah DOJ yang seterusnya.

Dana khas

Dana tersebut sepatutnya didepositkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan digunakan untuk membayar semula pemegang bon 1MDB.

Penyiasat AS dan Malaysia berkata Najib menerima kira-kira AS$1 bilion (RM4.1 bilion) dana 1MDB yang diseleweng.

Najib bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan sebaliknya mendakwa diperdaya ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) dan pegawai 1MDB lain.

Siasatan 1MDB dibuka semula dan perbicaraan dimulakan hanya selepas kekalahan mengejut kerajaan BN pada PRU-14.

Bank Goldman Sachs dan beberapa pegawai eksekutifnya adalah antara yang didakwa atas peranan mereka mengurus dan mengendalikan tiga jualan bon berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion) untuk 1MDB. Tiga pegawai Goldman Sachs mengaku tidak bersalah atas dakwaan tersebut.

Najib memberitahu Reuters bahawa beliau mengharapkan perbicaraan yang lebih adil memandangkan Dr Mahathir sudah tidak berkuasa.

Muhyiddin belum mengulas mengenai kes 1MDB secara khusus tetapi berikrar akan memerangi rasuah.

Dua pegawai kanan di bawah pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini iaitu peguam negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, sudah meletakkan jawatan.
-Malaysiakini

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply