Azam Baki Menuntut Lalitha Memohon Maaf Dan Ganti Rugi RM10 Juta | Malaysia News

Azam Baki menuntut Lalitha memohon maaf dan ganti rugi RM10 juta

Azam Baki

Azam Baki menuntut Lalitha memohon maaf dan ganti rugi RM10 juta

Azam Baki memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang pemberi maklumat yang paling awal mendedahkan dakwaan pemilikan saham membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Pemberi maklumat berkenaan, Lalitha Kunaratnam, menyiarkan di Twitter hari ini surat tuntutan yang dihantar oleh peguam Azam kepadanya.

“Saya telah menerima surat tuntutan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Terima kasih,” katanya dalam tweet itu.

Dalam satu kenyataan, Pakar Ekonomi, Prof Edmund Terence Gomez menyifatkan surat tuntutan itu sebagai tindakan “menakut-nakutkan yang serius”.

Gomez bulan lalu meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM sebagai membantah apa yang didakwanya sebagai kegagalan untuk bertindak berhubung dakwaan konflik kepentingan melibatkan Azam.

“Saya terkejut, malah terkedu, pemberi maklumat ini, yang membangkitkan persoalan sah mengenai kepentingan negara, kini disaman oleh Azam.

“Dengan menghantar surat tuntutan ini kepada pemberi maklumat, apa yang berlaku kini tidak lebih daripada intimidasi serius oleh Azam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Lalitha menyiarkan di Twitter surat tuntutan daripada peguam Azam.

Peguam Azam menuntut Lalitha memohon maaf atas laporan yang ditulisnya, mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta, menurut Gomez.

“Sekiranya pemberi maklumat diancam dengan cara ini oleh mereka yang mempunyai kedudukan dan kuasa, trend yang sudah lama kita lihat di Malaysia, bagaimana kita boleh membuat sebarang kemajuan agar rakyat mendedahkan mengenai rasuah dan melindungi mereka kerana berbuat demikian,” katanya.

Justeru, dia meminta Azam menarik balik surat tuntutan itu serta-merta dan menghentikan percubaannya untuk memangsakan pemberi maklumat.

Katanya, Azam sepatutnya mendedahkan semua kepentingan perniagaannya secara terbuka untuk melindungi imej dan integriti SPRM dan bukannya menyaman pemberi maklumat.

Prof Edmund Terence Gomez

Selain itu, Gomez turut menyeru Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk bersama-sama bertindak dan memulakan semakan segera terhadap SPRM.

“Perdana menteri juga perlu bertindak segera untuk mewujudkan panel bebas untuk mengkaji dakwaan kepentingan perniagaan Azam,” katanya.

Azam baru-baru ini mendapat perhatian selepas timbul dakwaan serius bahawa dia memiliki saham dalam dua syarikat pada 2015.

Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Dalam sidang media semalam, Azam berkata dia memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun dagangannya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam kedua-dua syarikat itu pada 2015.

Saham itu telah dipindahkan kepada abangnya, Nasir Baki.

Azam juga berkata dia telah menerima nasihat undang-undang dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan nama baiknya.

Abu Zahar, yang turut hadir pada sidang media itu, berkata mereka berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tidak mempunyai kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Pengkritik berkata sidang media SPRM itu menimbulkan lebih banyak soalan daripada jawapannya dan lebih banyak proses yang sewajarnya diperlukan sebelum Azam boleh dilepaskan daripada dakwaan itu.

Facebook Comments

About The Author

1 thought on “Azam Baki menuntut Lalitha memohon maaf dan ganti rugi RM10 juta

Leave a Reply