KWSP Bukan Untuk Mangsa Banjir, Ia Adalah 'Peluru' Najib Dan Zahid Buat Ismail Sabri | Malaysia News

KWSP bukan untuk mangsa banjir, ia adalah ‘Peluru’ Najib dan Zahid buat Ismail Sabri

KWSP - Zahid - Hamidi - Ismail Sabri - Najib Razak

KWSP bukan untuk mangsa banjir, ia adalah ‘Peluru’ Najib dan Zahid buat Ismail Sabri

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah tabungan wang masa depan untuk seseorang pekerja. Ia adalah persediaan buat masa akan datang, bukannya sekarang. Bukan juga wang semasa Covid-19 datang.

Dana KWSP bukan wang untuk pascagempa bumi atau tsunami atau banjir. KWSP bukan wang politik, apa lagi wang untuk dipolitikkan.

Ia merupakan wang masa hadapan yang boleh diguna pakai apabila seseorang tidak lagi bekerja secara tetap. Dalam istilah ekonomi, disebut menganggur. Sama ada ia pengangguran ketara atau tidak, bergantung kepada situasi seseorang pada usia pascapersaraannya.

Di kebanyakan negara beriklim Khatulistiwa dan Tropika, seseorang itu susut nilai pekerjaan apabila mencapai usia 55 dan ke atas. Mereka tidak mampu bekerja secara cekap lagi. Produktiviti menurun.

Jika ke pejabat pun mungkin sekadar menjadi pekerja yang tidak menguntungkan sesebuah organisasi.

Di sinilah pentingnya wang KWSP sebagai saraan masa depan, iaitu ketika seseorang tidak lagi mampu berperanan dalam sektor ekonomi. Mempolitikkan saraan masa depan adalah langkah yang berbahaya.

Kesilapan sama pernah berlaku apabila wang Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dikorek pihak tertentu suatu ketika dulu.

Bukan yang terbaik

Umno yang berpengalaman lebih 60 tahun memerintah Malaysia tentu faham situasi ini. Namun pimpinan Umno nampaknya sekarang buat-buat tak faham.

Ahmad Zahid Hamidi bersuara tentang rakyat susah dan perlu pembelaan luar biasa. Najib Razak juga berkali-kali bersuara mengapa perlu pengeluaran KWSP dengan berhujahkan nasib mangsa banjir yang menderita.

Menggunakan pendekatan popular tidak semestinya menguntungkan rakyat. Mangsa banjir tentu seronok dan berterima kasih kepada pihak yang menyarankan pengeluaran KWSP. Ada yang bersyukur kerana keperihatinan ‘bosskur’.

Ada juga tokoh Umno yang secara sinis bertanya Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz datang dari planet mana? Dan bertanya: kenapa halang rakyat keluar wang sendiri?

Pertanyaan ini tentunya sebahagian plot untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang berusia tidak sampai lima bulan. Seseorang menteri itu dilantik oleh perdana menteri, sama seperti duta khas bertaraf menteri.

Mempertikai menteri secara politiknya bermakna mempertikaikan keupayaan perdana menteri.

Kita mengakui kerajaan sekarang bukan yang terbaik. Ramai menteri yang lebih banyak tidur daripada melakukan kerjanya. Belum lagi diambil kira mereka yang bercuti ketika negara dilanda banjir besar pada 18 Dis lalu.

Mempertikaikan KWSP dan menteri kewangan adalah usaha untuk halus untuk menjatuhkan Ismail Sabri daripada jawatan perdana menteri. Umno tahu Ismail Sabri yang kuat bakal menggugat presiden dan pimpinan parti yang lemah sekarang.

Kluster mahkamah masih berkuasa dalam Umno tetapi tiada kuasa dalam kerajaan.

Dianggap pemimpin yang lemah

Mereka bimbang Ismail Sabri – dengan sokongan Annuar Musa, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaludin, Shahidan Kasim, Nazri Aziz dan ramai lagi – akan menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk merebut jawatan lebih tinggi dalam parti.

Polemik untuk mencepatkan pilihan raya umum (PRU) dan pemilihan Umno adalah sebahagian daripada isyarat mengenai pergolakan dalam Umno. Jika pemilihan dipercepatkan, kemungkinan team Ismail Sabri akan mengusai Umno, sekali gus memperkukuhkan mereka dalam kerajaan.

Hal ini tidak diingini oleh kluster mahkamah kerana bimbang mereka semakin jauh dari akar umbi jika tidak memegang jawatan dalam parti dan kerajaan. Jika PRU diawalkan dan Umno mencapai kemenangan besar, nama Ahmad Zahid dan Najib akan disebut ramai sekali gus memperkuatkan kedudukan mereka dalam parti.

Ismail Sabri pula tidak akan berani merebut jawatan presiden ketika parti kembali menguasai kerajaan dengan majoriti dua pertiga.

Isu KWSP bukanlah sangat untuk kepentingan mangsa banjir. KWSP adalah peluru untuk menembak Ismail Sabri sebagai pemimpin lemah yang gagal membantu rakyat ketika bencana.

Ketika pandemik Covid-19, kerajaan sudah membenarkan pengeluaran sehingga RM71,000 wang KWSP berikutan situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini. Jika KWSP dikeluarkan lagi, wang tabungan masa depan semakin mengecil sedangkan kos kehidupan meningkat setiap tahun.

Berdasarkan statistik, hampir 50 peratus – atau enam juta – pencarum mempunyai baki caruman KWSP kurang daripada RM10,000. Hal itu bermakna, enam juta pencarum terbabit tidak menerima manfaat pengeluaran tambahan KWSP.

Sebanyak 74 peratus daripada mereka adalah bumiputera dan lebih membimbangkan, sebanyak 79 peratus mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

Hala ‘senjata’ kepada kerajaan

Seeorang memerlukan RM240,000 untuk membiayai persaraan mereka selama 20 tahun pada kadar RM1,000 sebulan. Dengan simpanan kurang daripada RM10,000, seramai enam juta ahli KWSP tidak dapat bersara dengan selamat.

Pengeluaran tambahan akan menjadikan jumlah pencarum dengan simpanan kurang daripada RM10,000 meningkat kepada hampir tujuh juta orang.

Ahli ekonomi juga menyelar kempen Najib dan pemimpin lain yang sealiran dengannya kerana bimbang pencarum mungkin terpaksa bekerja lebih lama dari tempoh persaraan.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia berkata, berdasarkan data KWSP, seramai 6.1 juta atau 50 peratus ahli berumur kurang 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000 apabila bersara.

Katanya jika ahli mengeluarkan wang sebanyak RM21,000 melalui i-Lestari (RM6,000), i-Sinar (RM10,000) dan i-Citra (RM5,000), mereka terpaksa bekerja empat hingga lima tahun lebih lama dari umur persaraan untuk menampung kembali wang yang dikeluarkan sebelum ini.

Bagaimanapun politik tidak mengenal ekonomi seseorang. Politik adalah hal mengenai kuasa dan sekutu kapitalisme. Politik menghalalkan cara dan KWSP adalah senjata untuk mencalar imej Ismail Sabri.

Umno yang kempunan kuasa mutlak seperti pernah dimiliki lebih 60 tahun terpaksa menghalakan senjatanya kepada kerajaan sekarang walaupun ia diketuai oleh naib presidennya sendiri.

Ketika Anwar Ibrahim dan pembangkang lain kelihatan tidak berdaya untuk merebut kuasa buat masa ini, Umno sedang berdepan kemungkinan perang sesama sendiri yang lebih dahsyat.

Pakatan Harapan ketika ini hadapi krisis keyakinan kepemimpinan. Melaka dan Sarawak membuktikan mereka tidak relevan lagi. Perikatan Nasional masih belum teruji. PAS bukan sekutu yang dipercayai kerana terlalu banyak kolam mahu direnangi.

KWSP adalah sasaran terbaik. Terkena atau mengena bakal tercatat dalam sejarah. Najib dan Ahmad Zahid masih mengharap.


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply