Bersalin Ketika PKP: ‘Menitik Jugalah Air Mata’
Bersalin Ketika PKP: ‘Menitik Jugalah Air Mata’
Kuala Lumpur, MTN – Melahirkan anak seorang diri, tanpa ditemani suami di sisi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini, pasti memberi pengalaman berbeza buat ibu-ibu yang melahirkan cahaya mata mereka.
Para ibu terpaksa berdepan cabaran menguruskan segalanya seorang diri, kerana perlu akur kepada beberapa syarat iaitu tiada peneman dalam bilik bersalin, tiada peneman di dalam wad pada waktu siang mahu pun malam, serta tiada pelawat yang dibenarkan masuk pada pagi atau petang.
Susulan perintah tersebut, Anies Surianie Mat Daud, 27, yang berkongsi pengalaman menerusi catatan di laman Facebooknya berkata, pengalaman melahirkan anak keduanya pada 24 Mac lalu di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Kelantan, merupakan satu kelainan buatnya berbanding melahirkan anak sulungnya pada 2016.
Berkongsi pengalaman Anis Surianie berkata, pada mulanya berasa agak sedih selepas jururawat di Klinik Kesihatan berpesan kepadanya, supaya bersiap sedia menghadapi kawalan ketat daripada pihak hospital bagi mengawal penularan wabak COVID-19.
“Bila suami tak boleh masuk teman dalam bilik bersalin dan langsung tidak boleh melawat, saya rasa sedih dan risau, saya tak kuat nak lalui saat getir dalam room tu,” katanya kepada Bernama menerusi Facebook Messenger.
“Walaupun anak kedua, sangat sukar sorang-sorang. Nak urus diri sendiri lagi, nak jaga baby lagi. Saya rasa dah cukup kuat masa itu, tapi tiap kali bergerak menitik jugalah air mata… tambah-tambah terkena rengat, rasa macam ada sorang lagi baby nak keluar,” luahnya.
Walau bagaimanapun, ibu kepada dua anak lelaki itu melahirkan rasa syukur, kerana telah selamat melahirkan anak dan beliau menasihati bakal ibu yang menanti saat untuk bersalin agar membuat persediaan awal, dengan menyediakan kelengkapan secukupnya.
“Kalau boleh sediakan topeng hidung dan mulut, kerana jururawat hospital mungkin akan meminta awak pakai sebelum masuk wad bersalin. Ingat balik pesan doktor atau jururawat untuk tidak panik. Jangan menangis, jangan menjerit. Bagi perhatian kepada apa yang dikatakan jururawat ketika dalam bilik bersalin, kerana hanya jururawat yang boleh bantu kita masa tu.
“Pada hari itu hanya seorang jururawat yang hadir untuk menyambut bayi saya. Alhamdulillah, Allah permudahkan keadaan dan kedua-dua ibu dan anak selamat,” katanya.
Tambahnya, paling penting, mereka yang bakal bersalin perlu belajar cara menyusu dengan sebaiknya, kerana ia dapat membantu menenangkan si anak apabila ibunya terpaksa menguruskan segalanya, seorang diri.
Sejak perkongsian pengalamannya dimuat naik di Facebook, kisah wanita ini telah mencuri perhatian warga netizen sehingga meraih 9,400 likes, dan dikongsi lebih 8,200 sehingga setakat ini. [Bernama]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri