Pemuda UMNO Johor mencabar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd. Hairi Md. Shah berkata, dengan cara itu barulah Dr. Mahathir boleh mengetahui kekuatan sebenar Pakatan Harapan (PH) ataupun pembangkang yang kini menerima sokongan padu rakyat.
Katanya, pembangkang berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU-15 memandangkan keadaan kerajaan hari ini dalam keadaan tidak menentu.
“Penolakan rakyat cukup jelas, baik golongan dewasa orang tua mahupun anak muda sudah muak dan jelik dengan kegagalan demi kegagalan yang disajikan kerajaan PH.
“Pemuda UMNO Johor menghormati keyakinan Tun Dr. Mahathir. Jika Tun Dr. Mahathir yakin PH mampu menang, kami mencabar Perdana Menteri supaya memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan kepada PRU diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, Dr. Mahathir menyuarakan keyakinan PH akan kekal berkuasa jika PRU-15 diadakan sekarang selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.
Mohd. Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor tidak tahu sama ada kenyataan Dr. Mahathir itu berdasarkan fakta ataupun sekadar cakap politik PH yang sedar gelombang penolakan rakyat terhadap mereka cukup kuat ketika ini.
“Apatah lagi dengan segala janji yang gagal ditunaikan melalui manifesto yang ditawarkan serta pelbagai pendirian kerajaan terpaksa U turn sehingga menggadai prinsip perjuangan mereka.
“Ataupun jika Tun Dr. Mahathir merasakan sudah tidak mampu lagi untuk melayan karenah DAP, elok juga serahkan jawatan kepada Perdana Menteri Ke-8, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ‘setia’ menanti,” katanya.