Piagam PAS-UMNO Tidak Cetuskan Masalah Kaum | Malaysia News

Piagam PAS-UMNO Tidak Cetuskan Masalah Kaum

Piagam PAS-UMNO Tidak Cetuskan Masalah Kaum

PAS menolak dakwaan kononnya Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai parti itu dengan UMNO pada 14 September ini bakal mencetuskan masalah kaum dan agama di Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan itu tidak berasas kerana program Himpunan Penyatuan Ummah bersempena majlis menandatangani piagam berkenaan akan turut melibatkan kehadiran kepemimpinan daripada parti bukan Islam.
“Saya difahamkan himpunan itu turut dihadiri oleh MCA, MIC dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

“Sepatutnya mereka itu dengar dahulu ucapan pemimpin dalam himpunan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1441H di Stadium Negeri di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, piagam antara PAS dan UMNO menunjukkan yang kedua-dua parti itu cuba memainkan isu kaum dan agama dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Dr. Mahathir menegaskan, perbuatan tersebut boleh mencetuskan permusuhan dalam kalangan rakyat seperti yang berlaku di negara lain.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi keliru dengan kenyataan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang beranggapan Piagam Muafakat Nasional adalah perkara biasa dan hanya bersifat politik.

“Memanglah kita tidak boleh pisah daripada politik kerana politik yang mengurus negara, politik mempengaruhi masyarakat, ekonomi, sosial dan segala-galanya. Kalau tidak ada politik maka tidak ada yang menaunginya,” katanya.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply