Beri Peluang PH Tunai Tanggung Jawab | Malaysia News

Beri Peluang PH Tunai Tanggung Jawab

Beri Peluang PH Tunai Tanggung Jawab

Naib Pengerusi DAP negeri, Dr. Abdul Aziz Bari memberi keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh menerajui negara dengan lebih baik mengikut kehendak rakyat.
Keyakinan ini bersandarkan pada pengalaman PH yang berjaya mentadbir Selangor dan Pulau Pinang berbanding pencapaian parti lawan yang menguasi lain-lain negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Alam Sekitar negeri berkata, justeru rakyat perlu memberi keyakinan kepada kerajaan sedia ada mengikut mandat yang telah diberi menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Malaysia baharu sudah lebih terbuka, jadi sampai masa boleh tukar kerajaan. Rakyat tentukan.

“Apa pun rakyat kena beri peluang kepada kerajaan PH yang merupakan sebuah parti yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Sambutan Ambang Merdeka di Taman Pengkalan Jaya di sini semalam.

Selain persembahan kebudayaan, orang ramai turut dijamu kenduri rakyat termasuk ubi rebus dan diakhiri dengan teriakan ‘merdeka’ pada pukul 12 tengah malam.

Kata Abdul Aziz lagi, semangat menyambut kemerdekaan juga perlu difahami dengan sebenar-benarnya oleh rakyat dan bukan sedar mengibarkan Jalur Gemilang.

“Dalam menyambut merdeka, kita nak melihat apa yang lebih signifikan selain kibarkan bendera dan nyanyi.

“Saya tak kata tak perlu kibar bendera. Maksud saya perkara yang mendasari kemerdekaan ini misalnya soal pendidikan pada generasi muda,” ujarnya

Dalam ucapannya juga, Abdul Aziz turut menyindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang katanya sering menakut-nakutkan rakyat sebelum ini sekiranya PH berkuasa.

“Momokan kerajaan dahulu yang kata kalau PH mentadbir nanti Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan lain-lain agensi Melayu akan dihapuskan.

“RAMD masih lagi ada, malah tak da kakitangan awam pun yang diberhentikan. So (jadi), cakap-cakap Najib sebelum ini tak betul,” ucapnya.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply