Daim Ulas Peletakan Jawatan PM - Mahathir Kena Bertindak Pantas | Malaysia News

Daim ulas peletakan jawatan PM – Mahathir kena bertindak pantas

Daim ulas peletakan jawatan PM – Mahathir kena bertindak pantas

Peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada 24 Feb lalu menjadi permulaan kepada titik noktah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) hanya setelah 22 bulan gabungan itu berkuasa.

Dalam temu bual yang dihantar ke beberapa media, Daim Zainuddin yang dikenali sebagai teman rapat dan orang kepercayaan Mahathir ditanya apakah Mahathir – yang dikenali sebagai pakar seni politik negara – sebenarnya sudah melakukan kesilapan.

Merujuk kepada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada malam sebelum hari peletakan jawatan Mahathir, Daim berkata, bekas perdana menteri itu harus bertindak secepat mungkin.

“Bukannya mudah untuk berkata adakah beliau buat kesilapan atau tidak. […] Bukannya dia ada banyak masa.

“Beliau kena buat keputusan secepat mungkin.

“Sekarang setelah melihat semua maklumat yang ada, amat mudah untuk berkata, beliau silap, atau tidak silap. Tetapi pada waktu itu – dan ketika beliau ditekan dari semua arah – adakah ia satu kesilapan? Kita tidak berada dalam kedudukan beliau pada masa itu,” katanya.

Peletakan jawatan Mahathir itu dibuat setelah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa parti itu menarik diri daripada PH.

Dalam krisis politik yang berlarutan sehingga seminggu itu, Muhyiddin akhirnya dilantik sebagai perdana menteri untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) sementara Bersatu tepecah dua, dengan sebahagian ahlinya masih menyokong Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu.

Mesti hormat mandat rakyat

Daim kemudian menegaskan, kerajaan baru tersebut telah mengkhianati mandat rakyat.

“Prinsip saya masih tidak berubah. Ini adalah persoalan mengenai sah atau tidak sah perikatan tersebut.

“Parti-parti tersebut boleh bergabung untuk membuat sebarang perikatan. Tetapi bergabung untuk jadi kerajaan adalah tidak selari dengan kehendak dan mandat rakyat.

“Kita mesti hormat mandat yang diberi oleh rakyat, rakyat mengundi agar kerajaan PH memerintah selama lima tahun atau sehingga pilihan raya umum (PRU) (ke-15). Kita kena hormat kehendak rakyat.

“Penubuhan Perikatan Nasional tidak menghormati mandat tersebut,” katanya lagi.

Daim turut membangkitkan soal ketidakseimbangan kaum dalam kerajaan baru dengan menyifatkan lantikan wakil MCA dan MIC dalam kabinet hanyalah sebagai lantikan ”simbol” dan “token”, kerana jumlah mereka yang kecil dalam kerusi parlimen.

Walaupun beberapa pemimpin MCA telah dilantik ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Daim, mereka tidak mempunyai suara di dalam hal ehwal kerajaan.

“Oleh itu, siapa sebenarnya yang mewakili rakyat bukan Melayu di dalam kerajaan?” soalnya.

MCA mempunyai seorang wakil dalam kabinet dan empat timbalan menteri manakala MIC pula hanya ada satu portfolio kementerian dalam PN, yang terdiri daripada tiga parti Melayu-Islam iaitu Bersatu, Umno dan PAS.

Melihat ke depan, Daim berkata kerjasama antara Bersatu, Umno dan PAS itu akan teruji dalam agihan kerusi dalam PRU akan datang.

“Saya tidak pasti bagaimana sebuah perikatan yang ada saingan antara tiga parti ini dapat memuaskan hati ahli-ahli mereka.

“Adakah agenda tolak-menolak, tarik-menarik antara ahli akan mengacau jentera kerajaan dan mengganggu semua inisiatif kementerian yang telah dirancang untuk rakyat?” soalnya lagi.

Baru-baru ini, kerajaan PN diancam pergeseran hangat yang berlaku antara Bersatu dan Umno, dengan Bersatu mendakwa Umno mengetepikan mereka melalui pelantikan politik dalam GLC.

Pergeseran tersebut sehingga menyebabkan timbul gesaan untuk diadakan pilihan raya semula di Johor. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply