Daim Zainuddin: Kenapa Kekayaan, Kuasa Berada Di Tangan Segelintir Orang 'tak Layak'? | Malaysia News

Daim Zainuddin: Kenapa kekayaan, kuasa berada di tangan segelintir orang ‘tak layak’?

Daim Zainuddin: Kenapa kekayaan, kuasa berada di tangan segelintir orang ‘tak layak’?

Bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, hari ini mempersoalkan bilangan ahli politik yang dilantik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) oleh pentadbiran Perikatan Nasioanl (PN) diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut Daim, meskipun lantikan politik ke GLC dan GLIC adalah perkara biasa, tetapi ia menjadi “luar biasa” apabila terlampau ramai daripada mereka merupakan lantikan politik yang menurutnya dibuat secara semberono.

“Ramai orang melihat hal ini adalah usaha terang-terangan untuk membeli sokongan politik,” katanya dalam sesi temu bual yang dihantar ke beberapa organisasi media.

Berdasarkan perkiraan Malaysiakini, terdapat 39 lantikan penting dibuat PN membabitkan ahli parlimen atau Adun ke agensi kerajaan, pihak berkuasa pelabuhan, GLC, badan-badan berkanun dan duta-duta khas.

Daim kemudian menzahirkan kebimbangannya terhadap kelayakan tokoh yang dilantik dan apakah mereka mampu untuk membahagikan masa di antara tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan tugas di badan atau agensi berkenaan.

Katanya, ia merupakan salah satu persoalan yang belum terjawab berhubung proses lantikan itu. Selain itu, apakah niat kerajaan yang nampaknya “bersungguh-sungguh” mahu mengayakan ahli parlimen.

“Mengapa kerajaan ini mahu meletakkan begitu banyak kekayaan dan kuasa ke tangan golongan ‘istimewa’ ini walaupun tidak berkelayakan? Mengapa kek ekonomi ini semakin kecil dan hanya sedikit sahaja orang yang dapat?

“Kenapa kerajaan mengabaikan begitu ramai lagi mereka yang berbakat dan berkelayakan?

“Mengapa kerajaan menghina keupayaan golongan profesional yang sememangnya boleh menyumbang dengan lebih baik?” soalnya lagi.

Sedangkan, kata Daim, banyak lagi cara yang boleh diambil kerajaan bagi mengekalkan sokongan dan kesetiaan ahli parlimen tanpa perlu mencemarkan reputasi dan prestasi GLC serta GLIC.

Meskipun tiada undang-undang yang menghalang lantikan ahli politik ke GLC, pakar ekonomi terkemuka Prof Edmund Terence Gomez, berkata penyalahgunaan kuasa menjadi isu yang menekan apabila ahli politik yang dilantik menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi masing-masing.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, Daim mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan dilantik sebagai utusan khas kerajaan ke China sebagai sebahagian usaha rundingan bagi mengurangkan kos projek ECRL. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply