DAP keluar dari kerajaan Jika tak iktiraf UEC – Nga Kor Ming
DAP keluar dari kerajaan Jika tak iktiraf UEC – Nga Kor Ming
Kuala Lumpur, MTN – Menurut Kor Ming, DAP tidak teragak-agak meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan jika ia tidak mengiktiraf UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu).
Beliau yang juga ketua DAP Perak berkata, menteri daripada parti itu tidak pernah mendiamkan diri, sebaliknya mereka berusaha membangkitkan isu itu dan ia tidak diuar-uarkan media.
“Kami (DAP) mencapai kata sepakat untuk meninggalkan kerajaan, jika UEC tidak diiktiraf.
“Kami tidak kisah tidak berada dalam kerajaan, ini prinsip asas, kami akan mendukungnya,” kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming.
Beliau berkata demikian dalam wawancara khas dengan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily semalam.
Pengiktirafan UEC antara perkara yang dijanjikan dalam manifeso Pakatan Harapan (PH).
Laporan wawancara itu disiarkan oleh beberapa portal online.
Sementara itu, Kor Ming juga kesal kerana tiada orang memuji atau mengiktiraf 70 peratus usaha DAP dalam bidang pendidikan Cina.
Sebaliknya rakyat hanya melihat 30 peratus tugasnya yang belum selesai, katanya lagi.
Beliau memberi contoh peruntukan secara sistematik kepada sekolah persendirian Cina yang diluluskan Parlimen ketika ini berbanding sepanjang 60 tahun di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.
Kor Ming juga menafikan dakwaan DAP menjadi ‘parti diam’ selepas PRU-14 kerana mereka sebenarnya semakin berani bersuara menerusi mesyuarat kabinet.
“Ini mungkin silap kami tidak melakukannya dengan baik dari segi komunikasi dan publisiti. Ini yang perlu kami kaji semula,” katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu menegaskan perbezaan antara DAP dahulu dan sekarang ialah mereka mengalihkan peranan berani bersuara ke platform kerajaan dan saluran dalaman tetapi beliau kecewa ia tidak dapat dirasai dan dilihat orang ramai.