PIHAK pembangkang sering mempersoalkan dari mana Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat wang untuk membeli rumah berharga RM4 juta secara tunai di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.
Soalan ini sebenarnya sudah dijawab berulang kali oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu, namun askar-askar siber pembangkang terus juga bertanyakan soalan sama berulang-ulang untuk menimbulkan kekeliruan sekaligus menyebarkan penipuan di kalangan rakyat.
Pada 12 Januari 2020 yang lalu, dalam program Diwan Reformasi yang diadakan di Hotel, De Palma Ampang, Anwar sekali lagi menjawab soalan berkenaan.
Menurutnya, rumah yang terletak di Bukit Segambut Kuala Lumpur itu dibeli hasil penjualan rumahnya sebelum ini yang terletak di Bukit Damansara.
“Saya jual rumah (lama), saya beli di Bukit Damansara pada masa itu RM17 satu kaki persegi, tahun 1987, tahun 2005 saya keluar (penjara), saya jual (rumah Bukit Damansara) harganya RM390 satu kaki persegi,”
“Saya beli ‘cash’ rumah di Segambut, satu ekar sebab rumah Segambut masa itu murah RM90 satu kaki persegi,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak marah orang bertanya soalan berkenaan rumah itu meskipun ada yang bertanya dengan cara yang kurang sopan.
“Kalau orang tanya saya tak marah, saya tak jadi masalah, setengah orang dia marah, walaupun ada seorang tu dia tanya macam kurang ajar sikit, tapi saya tak marah saya kata okey,” katanya.
Tambahnya lagi, Syaidina Umar pernah dipersoal integritinya apabila ada orang bertanya tentang baju yang dipakainya justeru tidak ada sebab orang tidak boleh bertanya tentang rumahnya yang besar itu.
“Kalau Syaidina Umar boleh ditanya pasal baju dia, kenapa orang tak boleh tanya pasal rumah saya, dan rumah saya pula besar,” jelasnya.
Berdasarkan butiran jawapan oleh Anwar Ibrahim ini maklumat yang boleh kita proses ialah:
1. Anwar beli rumah di Bukit Damansara pada tahun 1987 (33 tahun yang lalu) pada harga RM17 satu kaki persegi.
2. Kemudian beliau menjual semula rumah itu pada tahun 2005 (18 tahun kemudian) pada harga RM390 satu kaki persegi sekaligus nilai rumahnya meningkat sebanyak 2,294 peratus.
3. Hasil jualan itulah beliau membeli rumah baru seluas 1 ekar di Bukit Segambut pada harga RM90 sekaki persegi. Maknanya secara kasar harga rumah itu sebelum dicampur yuran guaman dan lain-lain ialah RM3,920,400 (1 ekar = 43,560 kaki persegi)
Difahamkan nilai rumah Anwar Ibrahim di Bukit Segambut itu kini sudah meningkat kepada RM9.5 juta (peningkatan harga lebih 100% sejak 2005) mengikut penilaian semasa tahun lepas (2019).
Di bawah ini petikan rakaman kenyataan beliau berhubung isu rumah tersebut dalam program berkenaan.
Meskipun sekali lagi jawapan berkenaan rumah ini telah diberikan, aku percaya askar-askar siber pembangkang tetap akan terus bertanya lagi soalan ini berulang-ulang untuk mengelirukan rakyat.
Taktik mengulang-ulang soalan ini tidak lain dan tidak bukan merupakan teknik propaganda “repetition” yang biasa digunakan oleh Joseph Goebbles, Menteri Propaganda Nazi Jerman sebagai strategi “perang saraf,” untuk mengelirukan rakyat Jerman pada zamannya.
Kata Joseph Goebbles,
“Satu penipuan jika diberitahu sekali akan kekal sebagai penipuan, namun jika diberitahu 1,000 kali akan bertukar jadi kebenaran,”