Dr M Sindir Minta Maaf Kerana Tolong Taikun | Malaysia News

Dr M Sindir minta maaf kerana tolong taikun

Dr M Sindir minta maaf kerana tolong taikun

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad secara menyindir memohon maaf kerana pernah membantu golongan taikun semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998.

“Ya, memang pun cara kita selesaikan krisis menolong taikun di Malaysia.

“Memanglah baik jika kita tidak menolong taikun dan biarkan mereka dan perniagaan mereka rugi, gagal dan terpaksa ditutup.

“Dengan ini semua kakitangan mereka (yang kaya dan tidak kaya) akan menganggur.

“Eksport kita akan menurun dan tidak akan ada pengaliran wang asing ke dalam negara kita,” kata Mahathir dalam catatan terbaru di laman blognya, chedet.cc berkenaan krisis kewangan 22 tahun lalu.

Pada tahun 1997, krisis kewangan Asia yang bermula Thailand memberi kesan terhadap mata wang, bursa saham dan harga aset di beberapa negara Asia.

Malaysia turut terkesan akibat kegawatan ekonomi tersebut.

Mahathir yang pada ketika itu merupakan perdana menteri, berbeza pendekatan dengan menteri kewangannya, Anwar Ibrahim tentang cara menangani kegawatan ekonomi.

Anwar mahukan kawalan terhadap perbelanjaan, manakala Mahathir pula cenderung menggalakkan perbelanjaan bagi meneruskan kegiatan ekonomi.

Semasa krisis itu, Anwar juga menyokong pelan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), namun tidak dipersetujui Mahathir.

Kemuncak pergeseran antara kedua-duanya berlaku apabila Anwar disingkirkan sebagai timbalan perdana menteri dan didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan seks.

Anwar kemudian melancarkan gerakan reformasi dengan mendakwa Mahathir mengamalkan rasuah, kronisme dan nepotisme serta lebih mengutamakan projek-projek mega berbanding rakyat miskin.

‘Kita boleh halau semua taikun’

Mahathir berkata tanpa bantuan kepada taikun, kerajaan akan hilang cukai korporat dan cukai pendapatan kerana sebahagian besar cukai dibayar oleh taikun.

“Sebahagian besar dari dana kerajaan akan hilang. Operasi dan pembangunan negara tidak dapat diteruskan. Segala infrastruktur tidak dapat dibangunkan.

“Dalam keadaan kehilangan cukai ke atas taikun kita terpaksa mengenakan cukai kepada yang bukan ditakrif sebagai taikun. Setelah membayar cukai oleh bukan taikun, mereka akan masuk dalam golongan mereka yang miskin.

Kata Mahathir, 70 tahun dahulu taikun dibunuh dan harta mereka dirampas di beberapa buah negara.

Katanya, semua perniagaan dan perusahaan pada masa itu diambil oleh pemerintah dengan harapan 100 peratus daripada keuntungan akan diperolehi oleh kerajaan.

“Jika kita hendak kita boleh halau keluar semua taikun ini. Jangan tolong mereka. Biar mereka bankrap. Kita akan tolong yang bukan taikun sahaja.

“Tetapi dengan apakah yang kita hendak tolong bukan taikun ini selepas semua taikun tidak dapat bayar cukai. Itu soalannya?

“Saya minta maaf kerana tindakan saya mengatasi krisis kewangan 1997-1998 menguntung taikun,” kata Mahathir.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply