Dr Mahathir: Muhyiddin 'Dijangkit' Penyakit Umno | Malaysia News

Dr Mahathir: Muhyiddin ‘Dijangkit’ Penyakit Umno

Dr Mahathir: Muhyiddin ‘Dijangkit’ Penyakit Umno

Kuala Lumpur, MTN – Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad membidas Muhyiddin Yassin dengan menuduh presiden parti itu mencabul perlembagaan Bersatu.

Ini susulan Bersatu dilaporkan mahu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 11 Mei lalu tanpa kehadiran Dr Mahathir dan anaknya – Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir – sebelum ia ditunda.

Spekulasi adalah bahawa mesyuarat berkenaan adalah untuk memecat mereka berdua itu.

Dalam sebuah video hari ini, Mahathir berkata bahawa mesyuarat seumpama itu hanya boleh dipanggil oleh dirinya selaku ketua parti.

“Tetapi (mereka) ini tak nak bagi saya hadir, tak nak bagi saya ucap. Ini juga kesalahan besar.

“Sebab itu saya dapati bahawa mungkin Muhyiddin dijangkit oleh penyakit Umno. Dan (dia) suka membuat sesuatu yang tidak mengikuti perlembagaan parti,” katanya dalam sebuah video, hari ini.

Pada ketika itu, video berkenaan memaparkan artikel mengenai tindakan Majlis Tertinggi Umno untuk menggantung Shafie Apdal dan memecat Muhyiddin dan Mukhriz dari parti pada tahun 2016.

Mahathir berkata Muhyiddin juga melakukan kesalahan dengan melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung parti itu.

Katanya, bukan sahaja tindakan itu tidak dibincangkan dengannya sebagaimana yang dikehendaki oleh perlembagaan parti, malah pelantikan itu bertentangan dengan keputusan dewan tertinggi untuk melarang bekas anggota Umno memegang sebarang jawatan dalam parti sekiranya mereka diterima menyertai Bersatu.

“Jadi ini memang benda yang salah tetapi Muhyiddin masih keras nak panggil Hamzah sebagai setiausaha parti. Hamzah bukan setiausaha parti.

“Yang menjadi setiausaha parti ialah Datuk Marzuki Yahya yang dilantik oleh Muhyiddin,” katanya Mahathir.

Hamzah meninggalkan Umno pada Disember 2018 dan memilih menyertai Bersatu pada Februari 2019. Beliau kemudian dilantik sebagai setiausaha agung parti itu oleh Muhyiddin pada 26 Mac tahun ini.

Dalam video hari ini, Mahathir mendakwa bahawa Muhyiddin banyak melanggar peraturan dan prinsip demi mendapatkan sokongan sebagai perdana menteri.

Katanya, Muhyiddin turut menawarkan “kedudukan dan jawatan” kepada penyokong untuk membeli sokongan mereka.

Pada ketika ini, video memaparkan artikel mengenai Dr Maszlee Malik yang dilantik sebagai ketua jawatankuasa penasihat Mara Corp. Ahli parlimen Simpang Renggam itu bagaimanapun menolak pelantikan berkenaan.

Mahathir, yang mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, mengulangi bahawa populariti seseorang perdana menteru harus diuji di Dewan Rakyat.

Beliau juga mengulangi kebimbangannya bahawa Muhyiddin akan menghancurkan parti yang diasakan mereka bersama.

“Saya amat sedih dengan perkara yang berlaku ini kerana saya bersama dengan Muhyiddin sama-sama menubuhkan parti Bersatu.

“Tindakan Muhyiddin sekarang ini nampak akan menyebabkan parti Bersatu ini hancur kerana kalau diadakan PRU hari ini, kalaulah dia kalah dia tak jadi PM.

“(Apabila) Dewan (Rakyat) dibubar maka parti Bersatu ini akan hancur kerana kita tak dapat sokongan daripada PH dan kita juga tak dapat sokongan daripada parti yang kalah (pada PRU14) iaitu Umno,” katanya.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply