Dr Mahathir Terima Surat Saman Dari Khalid | Malaysia News

Dr Mahathir terima surat saman dari Khalid

Dr Mahathir terima surat saman dari Khalid

Shah Alam, MTN – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan beliau sudah menerima surat saman daripada bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, peguamnya sudah diarahkan untuk memberikan respons terhadap perkara tersebut.

“Saya telah terima saman fitnah daripada bekas KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Saya telah arahkan peguam saya untuk membalasnya.

“Saya akan berjumpa dengannya (Khalid) di mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Pada 16 April lalu, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang disiarkan di portal berita bertajuk ‘Khalid Abu Bakar Bocor Rancangan Pada Najib’ yang disifatkan sebagai satu fitnah.

Antara kandungan yang didakwa Mahathir ialah tindakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh Khalid.

Pada 22 April lalu, Khalid telah mengarahkan firma guaman Gunaseharan & Linda untuk menghantar notis tuntutan kepada Dr Mahathir bagi menuntut beliau membuat permohonan maaf terbuka secara bertulis dan media sosialnya seperti Facebook serta Instagram.

Dr Mahathir juga dikehendaki membuat aku janji tidak mengulangi kenyataan sama secara lisan atau bertulis di mana-mana saluran media penyiaran serta menarik semula kenyataan palsu bersifat fitnah.

Menurut firma itu, sekiranya gagal memenuhi segala tuntutan berkenaan, Dr Mahathir akan berdepan saman RM10 juta. [SH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply