Dr Soo Wincci - Single Empat Bahasa | Malaysia News

Dr Soo Wincci – Single Empat Bahasa

Dr Soo Wincci – Single Empat Bahasa

PERAYAAN Tahun Baharu Cina yang disambut esok membawa makna tersendiri buat penyanyi, pelakon dan model jelita Dr Soo Winci.

Ini kerana selepas dua tahun, dia berkesempatan pulang dari Sepanyol untuk meraikannya bersama keluarga.

“Dulu saya berulang-alik antara Malaysia dan Taiwan, sekarang ulang-alik ke Sepanyol pula.

“Saya sampai Malaysia minggu lalu dan balik ke sana semula minggu depan.

“Hujung Februari depan saya balik lagi kerana banyak kerja perlu diselesaikan di sini,” katanya.

Wincci, 35, berkata, sambutan Tahun Baharu Cina tidak digunakan untuk berehat, sebaliknya dimanfaatkan untuk mencari rezeki.

“Saya akan muncul dalam siaran langsung di kaca TV. Selain itu, saya juga akan buat persembahan di kuil kerana dilantik sebagai duta kuil terbabit.

“Dua tahun di Sepanyol demi pelajaran, sekarang adalah masa untuk membina semula nama di mata peminat.

“Menariknya, keluarga pun sokong dengan ikut serta ke stesen TV. Tidak ada acara makan besar bersama keluarga,” katanya.

Bercerita aktiviti terkini, Wincci berkata, dia dalam perancangan menyiapkan buku dalam bahasa Melayu bersama beberapa sasterawan.

“Buku ini akan dilancarkan pada hujung Mac. Saya berhasrat mempromosikan negara dalam aspek sastera dan artistik kepada pihak luar.

“Sekarang saya sedang mencipta lagu baru. Tapi, buat masa ini saya belajar bahasa Sepanyol kerana bercadang melancarkan single dalam empat bahasa iaitu Melayu, Cina, Inggeris dan Sepanyol.

“Tahun ini saya fokus menghasilkan lagu untuk penjenamaan saya dan terbitkan buku,” katanya.

Wincci berkata, tahun ini adalah satu permulaan baru buatnya kerana selain belajar, dia turut mengendalikan produksi sendiri.

“Saya dalam proses mengembangkan produksi muzik di Sepanyol. Saya lebih mendalami produksi, menerbitkan muzik serta kandungan bagi pelanggan.

“Apabila pulang Malaysia, saya kena mencari maklumat pelanggan dan kena berurusan dengan pelbagai pihak termasuk media.

“Segalanya sudah berubah dan saya belajar untuk berdikari mengendalikan sendiri,” katanya.

Pencapaian peribadi Wincci amat membanggakan apabila dua kali mencatat nama dalam Malaysia Book of Record (MBOR) sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak.

Dalam tempoh 15 tahun, dia berjaya memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (2007), Sarjana Pengurusan Perniagaan (2008), Doktor Falsafah (PhD) dalam Perniagaan (2016), Sarjana Muzik (2018) dan terbaru Ijazah Pasca Sarjana Fellowship dari Berklee Valencia, Sepanyol.

Dia juga ditawarkan melanjutkan pengajian di peringkat PhD yang kedua dalam bidang Produksi Artistik dari Universiti of Polytechnic yang terkenal di Sepanyol.

“Ibaratnya hobi saya ialah buat PhD. Saya dapat tawaran biasiswa, tapi dalam masa sama saya tetap bekerja.

“Tesis pun berkaitan apa yang saya buat dalam pekerjaan iaitu bidang seni. Jangan bazirkan masa kita sia-sia.

“Susah untuk dapat visa di luar negara melainkan dengan cara visa pelajaran dan visa artis yang menjadikan kos saya lebih rendah,” katanya yang mahu membuktikan artis wanita dari Malaysia juga mampu mencipta nama di luar negara.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply