Era Covid-19, Politik Matang Rakyat Hadapi Kemelut Kuasa
Era Covid-19, Politik Matang Rakyat Hadapi Kemelut Kuasa
Kuala Lumpur, MTN – Kemelut politik yang melanda negara penghujung Februari lepas menyaksikan tahap kematangan rakyat Malaysia semakin baik berbanding beberapa krisis sebelum ini.
Meskipun berlanjutan selama lebih tempoh seminggu dengan beberapa siri ketidaktentuan yang sukar diramal, namun semuanya dapat dilalui dengan tenang dan terkawal.
Teka-teki siapa Perdana Menteri kelapan secara rasmi akhirnya terjawab apabila Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 1 Mac lepas di Istana Negara, sekaligus menamatkan kemelut berkenaan.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang pasti dan paling ketara dengan krisis politik negara pada kali ini ialah tiada berlaku sebarang rusuhan mahupun demonstrasi jalanan. Tidak keterlaluan untuk disimpulkan, majoriti rakyat Malaysia bersikap lebih rasional.
Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail berkata, situasi itu menunjukkan kematangan rakyat dalam mengutamakan keamanan dan keharmonian negara berbanding perbezaan ideologi politik.
“Rakyat sedar wujudnya pergolakan dalam kalangan pemimpin politik namun kebanyakan mereka memilih untuk tidak bertindak di luar batasan seperti keadaan sebelum ini. Mereka selesa mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ apa yang akan berlaku seterusnya.
“Perubahan ini menunjukkan rakyat Malaysia mula membentuk suatu budaya politik baharu dengan bersikap lebih terbuka. Mereka tidak mudah terperangkap dengan permainan, percaturan malah ‘drama’ orang politik bahkan lebih bijak menilai apa yang baik dan buruk kepada negara.
“Mereka juga mungkin sudah ‘masak’ dengan permainan ahli politik tertentu yang akhirnya membuatkan mereka kecewa apabila sokongan yang diberi tidak digunakan sebaiknya,” katanya kepada Bernama.
Mohd Mahadee menambah kematangan rakyat juga boleh dilihat apabila mereka semakin berani menegur bahkan mengecam tindakan ahli politik secara terang-terangan termasuk dalam media sosial tanpa mengira pemimpin akar umbi atau pucuk pimpinan parti.
Walaupun mungkin ada yang kurang bersetuju dengan tindakan itu, namun katanya, ia sedikit sebanyak memberi peringatan kepada setiap ahli politik agar tidak menyalah gunakan kuasa serta kepercayaan yang diberi kerana tindak-tanduk mereka sentiasa diperhatikan.
“Terdapat ahli politik yang tersasar daripada tanggungjawab sebenar kerana sibuk mengejar kedudukan, pengaruh dan kepentingan politik masing-masing. Mereka bukan sahaja bersikap tidak profesional bahkan ‘cakap tak serupa bikin’, hari ini kata ya, esok cakap tidak.
“Sikap sebegini membuatkan rakyat jemu dan meragui pendirian sebenar ahli politik. Mereka juga semakin sedar bahawa walau apa pun yang berlaku, mereka tetap perlu keluar bekerja dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
‘Politik jalanan racuni hubungan rakyat’
Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis yang juga Penasihat Gabungan Mi’Raj Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain turut bersependapat dengan Mohd Mahadee.
Menurut beliau, kematangan rakyat dalam berpolitik pada hari ini dilihat sebagai suatu pencapaian berharga selepas melalui pelbagai konflik dan krisis sebelum ini.
Menurut beliau, corak politik negara 2020 juga secara tidak langsung menjadi suatu pengalaman dan peringatan kepada pemimpin bahawa mereka sekali-kali tidak boleh menafikan suara rakyat yang menjadi penentu kepada survival kerjaya politik mereka.
“Rakyat mempunyai pelbagai persepsi dan keutamaan. Kebanyakannya semakin sedar bahawa dalam dunia politik ‘macam-macam boleh berlaku’ (sukar diramal). Justeru majoriti mereka memilih menjadi pemerhati berbanding terlibat sama yang sudah tentu akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini juga, rakyat sedar bahawa ‘politik jalanan’ dan tidak melalui saluran demokrasi yang betul hanya akan mengundang keadaan yang lebih buruk, mencetuskan huru-hara, termasuk meracuni hubungan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.
Wan Ahmad Fauzi pada masa sama menambah pemahaman rakyat berhubung peranan Institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia turut menyumbang kepada penyelesaian kemelut politik yang dapat dilalui dengan lebih tenang.
“Keyakinan rakyat semakin kukuh terhadap kewibawaan institusi beraja ditambah pula peribadi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang begitu dekat di hati rakyat.
“Rakyat menghormati dan meletakkan kepercayaan kepada Seri Paduka Baginda dalam melaksanakan peranan baginda yang seterusnya membawa kepada pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Fokus Covid-19
Dalam pada itu Mohd Mahadee berkata, rakyat pada masa sama turut memberi fokus terhadap isu yang lebih penting, lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan penularan penyakit Covid-19, yang kini diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau menjelaskan, meskipun wujud cubaan kecil untuk mempengaruhi rakyat dalam berpolitik dan mencetuskan suasana kurang harmoni, namun ianya hanyalah kes terpencil bahkan gagal mendapat sambutan.
“Dalam media sosial pun jika ada mereka yang cuba membangkitkan hal politik, ramai yang akan marah. Sekarang masanya untuk bersatu dan fokus pada isu negara yang lebih penting, lebih-lebih lagi Covid-19 yang ketika ini menjadi ancaman kepada rakyat bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh dunia.
“Berpijaklah di bumi nyata. Utamakan perkara sepatutnya, rakyat juga sudah muak dengan agenda politik yang hanya melaga-lagakan individu tertentu namun akhirnya mereka yang menjadi mangsa,” tegas Mohd Mahadee.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri