Fahmi Fadzil: MP Cadang K'jaan Beri RM20,000 Pada Penganjur Bazar Ramadan | Malaysia Top News
May 27, 2020

Fahmi Fadzil: MP Cadang K’jaan Beri RM20,000 Pada Penganjur Bazar Ramadan

Kuala Lumpur, MTN – Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memberikan bantuan kewangan ‘one off’ berjumlah RM20,000 kepada setiap penganjur bazar Ramadan untuk meredakan aliran tunai mereka.

Dalam satu kenyataan, Fahmi berkata pihak penganjur telah menghabiskan sejumlah besar wang untuk persiapan bazar tersebut.

“Pada masa yang sama, saya faham para penganjur telah melaksana beberapa perkara yang menelan belanja seperti menempah banner, membuat garis tapak serta perkara-perkara berkait penganjuran tapak.

“Memandangkan pengumuman pembatalan dibuat agak lewat iaitu hanya seminggu dari bermulanya Ramadan, saya mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan pertimbang bantuan ‘one-off’ berjumlah RM20,000 bagi setiap penganjur tapak.

“Ini akan dapat membantu serba sedikit aliran tunai (‘cash flow’) para penganjur tapak dan menjadi tanda penghargaan di atas kerja-kerja yang telah dilaksana. Saya menjangkakan RM1.2 juta diperlukan secara keseluruhan,” katanya.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengumumkan bahawa tiada Bazar Ramadan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam bentuk apa pun tahun ini.

Beliau berkata hal ini telah dibincangkan dengan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, Fahmi juga menggesa pihak penganjur bazar mempercepatkan untuk mengembalikan yuran tempahan tapak antara RM350 hingga RM500 kepada peniaga.

“Mereka risau duit yang dibayar tidak akan dipulangkan sepenuhnya, dan rata-rata tidak bersetuju wang tersebut disimpan untuk penganjuran tapak bazar Ramadan tahun depan.

“Saya harap penganjur tapak dan penganjur induk akan dapat menyegerakan pemulangan sepenuhnya wang yang dibayar peniaga-peniaga ini. Ramai yang ingin bersiap sedia untuk Ramadan dan perlu menggunakan wang tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kanan Ismail Sabri pada sidang media hari ini berkata beliau telah dimaklumkan bahawa DBKL akan mengembalikan deposit kepada semua peniaga bazar Ramadan di ibu negara.

Annuar Musa pula hari ini dilaporkan berkata deposit berkenaan berjumlah RM120 bagi setiap peniaga.

“Pendaftaran itu akan dibuka pada 14 hingga 17 April.

“Kami memulangkan deposit untuk bazar Ramadan sebanyak RM120 sebelum ini dan akan beri insentif RM500 bagi setiap penjaja yang bersetuju mendaftar dalam program baru ini,” kata beliau.[MK]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •