Fahmi: Terima Kasih Tengku Zafrul 'jaringkan Gol Sendiri' Untuk PN | Malaysia News

Fahmi: Terima kasih Tengku Zafrul ‘jaringkan gol sendiri’ untuk PN

Fahmi: Terima kasih Tengku Zafrul ‘jaringkan gol sendiri’ untuk PN

Fahmi: Terima kasih Tengku Zafrul ‘jaringkan gol sendiri’ untuk PN

Kuala Lumpur, MTN – Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana mendedahkan senarai 101 kontrak kerajaan yang diberikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) melalui rundingan terus.

Kata Fahmi, langkah diambil senator terbabit sebenarnya menyukarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri dan boleh diibaratkan seperti menjaringkan gol sendiri.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul kerana telah membantu merungkaikan masalah yang ada pada hari ini.

“Dia seperti orang kata (menjaringkan) own goal atau tembak kaki sendiri dengan mendedahkan senarai 101 projek yang didakwa diberikan secara rundingan terus dan bernilai RM6.61 bilion,” katanya.

Fahmi ditemui media selepas turun berkempen menyokong calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) malam tadi.

Terdahulu pengarah komunikasi PKR itu diminta mengulas tindakan Tengku Zafrul mendedahkan senarai penuh 101 projek runding terus selepas didesak PH semalam.

Ketika PH dikecam atas kenyataan Tengku Zafrul sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri mengakui amalan memberikan kontrak secara runding terus tidak bercanggah dengan undang-undang.

Cuma kata Abdul Rahim, langkah tersebut bercanggah dengan manifesto PH.

Bukan ucap terima kasih

PH pula sebaliknya menegaskan daripada keseluruhan kontrak yang dikendalikan sepanjang tempoh 22 bulan menjadi kerajaan, hanya 1.4 peratus saja diberi melalui runding terus, manakala 98.6 peratus lagi secara tender terbuka.

Tender secara runding terus hanya diberikan dalam kes tertentu terutama membabitkan aspek keselamatan negara dan ketenteraan.

Fahmi berkata berdasarkan senarai semua 101 projek dibentangkan Tengku Zafrul, terbukti hampir 72 peratus – atau lebih RM4.475 bilion daripada RM6.6 bilion yang didakwa itu – diluluskan sebelum BN dikalahkan dalam pilihan raya umum 2018.

“Jadi, kalau banding yang lain kita nampak satu keadaan yang memilukan dan memalukan untuk PN.

“Saya jangkakan malam tadi mungkin panggilan bertalu-talu dibuat kepada Tengku Zafrul oleh rakan-rakan PN, cuma saya tidak rasa mereka mengucapkan terima kasih kepada beliau,” katanya secara berseloroh.

Fahmi juga menambah dia memasukkan soalan tambahan kepada Tengku Zafrul di Dewan Rakyat agar menteri terbabit menyenaraikan pula semua projek yang diberikan secara runding terus sejak 2013.

“Beliau telahpun memulakan langkah kanan dengan menyenaraikan 101 projek.

“Sekarang kita minta beliau senaraikan semua projek rundingan terus dari 2013 hingga sekarang. Harap mereka tidak tolak soalan saya,” katanya lagi.

Terdahulu, berucap di hadapan lebih 100 hadirin di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Fahmi meminta Zuraida Kamaruddin yang mengetuai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya menjelaskan peruntukan RM170 juta diluluskan secara runding terus.

“Semalam (kelmarin) Zuraida kata KPKT tidak memberi sebarang kontrak terus ataupun rundingan terus, tetapi hari ini (semalam) terbukti salah satu daripada projek diberikan adalah projek pelupusan sampah nilai RM170 juta kepada sebuah syarikat. Jadi mungkin Zuraida perlu jelaskan,” katanya.

Fahmi turut mencabar bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, yang difahamkan memberi kelulusan RM90,000 kepada sebuah syarikat untuk mengubah suai pejabat ketika menjadi menteri hal ehwal ekonomi dalam kerajaan PH.

“Untuk Azmin ada masalah kerana beliau ada memberi kontrak runding terus untuk membuat renovation bernilai RM90,000 untuk pejabat,” katanya.

Azmin dan Zuraida adalah antara 11 ahli parlimen PKR berpaling tadah meninggalkan PH menyebabkan gabungan berkenaan tumbang pada Feb lalu.

Facebook Comments

Author Profile

Anand Pavit

About The Author

Leave a Reply