Filem Top Gun: Maverick Pecah Rekod Box Office Global | Malaysia News
Top Gun Maverick

Filem Top Gun: Maverick pecah rekod box office global

New York – Filem drama aksi, Top Gun: Maverick memecah rekod box office global dalam tempoh beberapa hari dengan meraih kutipan AS$248 juta (RM1.1 bilion) sejak ia mula ditayangkan di 19,000 lokasi di seluruh dunia pada Jumaat lalu.

Filem sekuel itu menyaksikan kemunculan semula watak juruterbang handal, Pete ‘Maverick’ Mitchell lakonan aktor terkenal, Tom Cruise, 59, setelah ia pertama kali diperkenalkan pada 1986.

Daripada jumlah keseluruhan itu, hasil kutipan AS$151 juta (RM660 juta) diperoleh di Amerika Syarikat (AS) setelah ia disiarkan di kira-kira 4,732 pawagam di seluruh negara yang turut memecah rekod filem lain.

Ia juga menandakan filem pertama dibintangi Cruise yang berjaya mencecah kutipan AS$100 juta (RM437 juta) pada hujung minggu pembukaannya dan menjadi genre filem bukan adiwira yang mencatatkan jumlah tontonan tertinggi sejak pandemik Covid-19 disusuli Spiderman: No Way Home AS$260 juta (RM1.14 juta), Doctor Strange in the Multiverse of Madness AS$187 juta (RM818 juta) dan The Batman AS$134 juta (RM586 juta).

Selain itu, ia juga menarik demografi yang lebih tinggi berbanding filem Marvel dan DC dengan anggaran 55 peratus daripada penonton berusia lebih 35 tahun.

Tayangan Top Gun: Maverick pada mulanya dijadualkan pada musim panas 2020, namun ia terpaksa ditunda beberapa kali kerana pandemik Covid-19.

Kempen pemasaran filem itu bermula pada 2019 dan kemuncaknya pada minggu lalu dengan kemunculan Cruise di Cannes dan tayangan perdana diraja di London.

Filem pertama Top Gun yang memaparkan aksi jet tempur diarahkan Tony Scott dengan bajet dianggarkan berjumlah AS$15 juta (RM66 juta) manakala sekuelnya hasil garapan Joseph Kosinski dengan anggaran kos lebih 10 kali ganda. [SH]

Facebook Comments