Goldman Sachs Bebas Tuduhan Urus Niaga Bon 1MDB | Malaysia Top News
January 16, 2021
1MDB_Goldman_Sachs_Malaysia_Top_News

Goldman Sachs Bebas Tuduhan Urus Niaga Bon 1MDB

KUALA LUMPUR, MTN – Goldman Sachs International Ltd dan dua entiti Asianya dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan berhubung terbitan bon bernilai AS$6.5 bilion (RM27 bilion) membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Ia membabitkan syarikat yang berpengkalan di United Kingdom dan dua entiti Asianya, di Singapura dan Hong Kong.

Terdahulu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud memberitahu mahkamah, pihaknya tidak akan meneruskan kes tersebut.

“Kami berhasrat, tidak meneruskan pendakwaan ke atas Goldman Sachs International Ltd.

“Justeru itu, pendakwaan memohon kepada mahkamah agar tiga entiti itu dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili ketiga-tiga entiti itu kemudiannya memohon pengesahan berhubung perkara tersebut.

“Saya harap mahkamah mengeluarkan perintah supaya anak guam saya dilepas daripada kesemua pertuduhan,” katanya.

Masri menjawab, pihaknya tidak membantah dan mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, Masri berkata, pihaknya akan meneruskan pendakwaan ke atas bekas Pegawai Bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang didakwa atas empat pertuduhan subahat dengan Goldman Sachs berkaitan penjualan nota dan bon jaminan milik anak syarikat 1MDB.

Advertisement

“Pihak pendakwaan tidak berniat untuk menarik balik kes terhadap Roger, yang kini berada di Amerika Syarikat untuk perbicaraan atas kesalahan berkaitan 1MDB,” katanya.

Mahkamah menetapkan 10 September ini untuk pengurusan bagi kes itu.

Pada 19 Disember 2018, pendakwaan memfailkan empat tuduhan ke atas Goldman Sachs kerana meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan itu antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013, di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Pertuduhan dilakukan mengikut Subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta. [sh]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •