Guan Eng: Perjuangan Rakyat Belum Selesai Hingga ‘katak’ Ditumpaskan | Malaysia News

Guan Eng: Perjuangan rakyat belum selesai hingga ‘katak’ ditumpaskan

Guan Eng: Perjuangan rakyat belum selesai hingga ‘katak’ ditumpaskan

KUALA LUMPUR – DAP menyifatkan kejayaan proses penamaan calon hari ini untuk pilihan raya negeri Sabah, adalah perayaan demokrasi dan prinsip teguh bahawa masa depan Sabah akan ditentukan dan diperintah oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat, seperti yang diperjuangkan Datuk Seri Shafie Apdal.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, walaupun ada percubaan oleh oportunis politik atau “katak” untuk mensabotaj usaha mengembalikan kuasa kepada rakyat, dengan membentuk kerajaan melalui pembelian wakil rakyat dan kemudian pergi ke mahkamah untuk menghalang pilihan raya, rakyat Sabah akan mengundi pada 26 September untuk memutuskan kerajaan pilihan mereka.

Sebilangan besar “katak” ini mungkin kalah dalam pertempuran pertama untuk merampas kerajaan negeri Sabah melalui pintu belakang.

Namun, katanya, kemenangan untuk kuasa rakyat belum muktamad sehingga semua katak dan pihak penaja mereka yang menentang Warisan Plus, benar-benar ditumpaskan pada 26 September.

”Rakyat Sabah mestilah mengundi Warisan Plus yang bersatu, termasuk DAP, UPKO, PKR dan Amanah di bawah kepemimpinan utuh Datuk Seri Shafie Apdal.

”Sebaliknya, pihak sebelah sana sangat berpecah belah sehingga mereka tidak dapat bersetuju siapa yang akan menjadi Ketua Menteri mereka. Mereka juga tidak boleh bersetuju untuk calon bersama dan akan bertembung sesama mereka di sekurang-kurangnya 10 kerusi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, Sabah memerlukan satu gabungan yang bersatu, kepemimpinan yang bersatu di bawah seorang ketua iaitu Shafie dan DAP menggesa pengundi untuk menyokong Ketua Menteri Sabah itu dan gabungannya dari Warisan Plus, DAP, UPKO, PKR dan Amanah.

”Shafie menawarkan pilihan antara kuasa rakyat dan politik wang. Shafie menawarkan kerajaan yang menjaga hak dan kepentingan rakyat berbanding dengan pihak yang hanya menjaga kepentingan peribadi dan kuasa wang. Pilih Shafie untuk dia pertahankan demokrasi dan menjaga masa depan anak-anak kita,” ujarnya. [mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply