Pemuda PAS Lulus Usul Tanding Minima 50 Kerusi Pada PRU15 | Malaysia News

Pemuda PAS lulus usul tanding minima 50 kerusi pada PRU15

Pemuda PAS lulus usul tanding minima 50 kerusi pada PRU15

Pemuda PAS meluluskan usul yang dikemukakan agar parti itu bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Usul tersebut dikemukakan oleh Pemuda PAS kawasan Bagai Serai dan kemudiannya dibuka untuk dibahaskan sebelum ia dipersetujui sepenuhnya oleh perwakilan Muktamar Pemuda PAS kali ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu, hari ini.

“Mengesyorkan untuk memastikan PAS mendapat minima 50 kerusi (parlimen) berpotensi dan memposisikan 20 peratus kerusi daripada jumlah kerusi ini adalah daripada calon anak muda,” kata usul yang diterima untuk dibahas itu.

Susulan itu beberapa perwakilan bangun menyatakan hujah antaranya menyokong supaya usul diterima.

Bagaimanapun ada juga perwakilan yang bangun menyatakan agar usul tersebut dibaiki antaranya dengan meningkatkan lagi sasaran kepada 70 kerusi.

Selain itu terdapat juga cadangan supaya usul itu tidak menyatakan jumlah sasaran tertentu namun dikekalkan 20 peratus kerusi untuk calon anak muda.

Bagaimanapun, undian yang dibuat akhirnya menetapkan usul asal diterima dan diluluskan untuk dibawa ke Muktamar Pusat PAS.

Terdahulu latar belakang usul tersebut dibuat dengan mengambil kira PAS melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) membawa agenda perpaduan ummah.

“Situasi politik negara sama ada kerajaan pusat mahupun beberapa kerajaan negeri menggambarkan bahawa tiada parti yang boleh memerintah bersendiri.

“Situasi ini telah berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) yang mana apabila Bersatu keluar daripada PH maka kerajaan pusat tumbang.

“Ia juga berlaku kepada beberapa negeri akhirnya bertukar kepada kerajaan parti komponen PN,” kata Pengerusi Usul, Nazir Helmi, yang membacakan latar belakang usul tersebut. [mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply