Mahathir: Parti Baru Syed Saddiq Akan Pecahkan Undi Melayu | Malaysia News
September 19, 2024

Mahathir: Parti baru Syed Saddiq akan pecahkan undi Melayu

Mahathir: Parti baru Syed Saddiq akan pecahkan undi Melayu

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa parti anak muda yang akan ditubuhkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan memecahkan sokongan pengundi terutama dalam kalangan orang Melayu.

Menerusi wawancara dengan Malaysiakini, bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kewujudan lebih banyak parti hanya akan menyebabkan berlaku pertembungan sesama sendiri yang akhirnya akan menyebabkan kekalahan kepada pembangkang.

“Soal (kenyataan tidak boleh berjaya), itu politik. Soal saya berhubung dengan dia, itu masih baik. Saya kata dengan dia, kalau kita ada banyak parti, kita lawan sama kita, nanti kita kalah. Orang lain nanti menang, jangan pecahkan undi Melayu, itu saja.

Pada 24 Ogos lalu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mengesahkan beliau tidak akan menyertai Pejuang yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir.

Bekas Ketua Armada Bersatu yang sebelum ini menyokong Dr Mahathir itu sebaliknya mengesahkan akan menubuhkan sebuah parti politik baharu berbilang kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyifatkan orang Melayu sebagai tidak pandai berpolitik.

“Orang Melayu tidak bijak dalam politik. Dia pegang kuat pada parti, lepas tu kalau dia tak dapat, dia buat satu parti (baharu).

“Dia pecah undi Melayu, bila kita pecah undi Melayu, bukan Melayu menjadi penentu siapa yang akan menang,” katanya.

Melayu Perlu Perhatian Khusus

Menurutnya, penubuhan parti Pejuang bertujuan menyelesaikan masalah orang Melayu selain memberikan perhatian khusus terhadap kaum tersebut.

“Orang Melayu ada banyak masalah yang perlu ditangani. Kalau kita buat satu penyelesaian itu manfaatnya untuk semua kaum, Melayu tak dapat manfaat itu.

“Melayu kena ada special treatment (layanan khas). Saya sudah lama dah, 70 tahun, 80 tahun saya bekerja untuk membantu orang Melayu,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kekalahan parti Pejuang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Mahathir berkata antara lain ia adalah disebabkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib telah berjaya memainkan propagandanya dalam PRK Slim supaya pegundi menolak calon partinya, jelas Mahathir, .

“Ini kesan daripada Najib punya propaganda. Najib sudah berjaya, benda yang salah itu betul, yang betul itu salah.

“Dia boleh kata ini penipuan, dia tak buat salah, yang sebenarnya orang tipu dia. Orang Melayu dia simpati lah, kata boss dia nak masuk penjara.

“Dia boleh kata ‘bossku apa nak malu’, kalau bossku mencuri pun nak malu apa, lagi pun ada orang Melayu kata biar lah dia curi, dia bukan curi duit kita. Dia curi duit org lain,” kata Mahathir.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply