Hampir Semua Calon Yakin Menang PRK Tanjung Piai | Malaysia News

Hampir semua calon yakin menang PRK Tanjung Piai

Hampir semua calon yakin menang PRK Tanjung Piai

PONTIAN, 13 Nov — Setelah 12 hari berkempen dan hari pengundian untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tinggal tiga hari lagi, calon-calon yang bertanding meletakkan keyakinan tinggi untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen itu Sabtu ini.

Ketika ditanya mengenai tahap keyakinan mereka, hampir kesemua calon memberikan respons yang sama mampu menang PRK itu kerana melihat program dan kempen mereka mendapat sambutan positif daripada penduduk di kawasan parlimen itu.

Calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini menyuarakan keyakinannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai untuk partinya dalam PRK itu.

Katanya, beliau melihat sambutan positif daripada penduduk sewaktu bertemu dengan mereka, sekali gus memberikan petanda “feel good” untuk memenangi pilihan raya berkenaan.

“Daripada sambutan orang ramai yang kita jumpa kita sudah boleh rasa. Begitu juga igerak hati kita (saya). InsyaAllah…(boleh menang) doakan untuk saya,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Kampung Melayu Raya di Pekan Nanas, di sini hari ini.

Katanya dengan tempoh kempen yang berbaki hanya kurang tiga hari, beliau sedang berusaha untuk menerangkan kepentingan PH memenangi pilihan raya itu kepada penduduk.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang pernah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai pada 2008 hingga 2018, beliau turut optimis mampu merampas semula kerusi Parlimen itu berdasarkan sokongan positif penduduk sepanjang beliau berkempen setakat ini.

Wendy Subramaniam dari Gerakan pula percaya dengan penerimaan dan reaksi baik yang diterima semasa berkempen merupakan tanda bahawa matlamat partinya untuk memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai tercapai.


Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz pula berkata tidak gentar dengan saingan daripada setiap pihak lawannya, malah beliau juga yakin sokongan pengundi terhadapnya akan bertambah dan disambut lebih bersemangat oleh penduduk Tanjung Piai.


“Saya rasa ini semua disebabkan, ia didorong melalui kempen rumah ke rumah menunjukkan…malah, feedback daripada pengundi mengenai kempen Berjasa paling agresif,” katanya.


Bagi calon Bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar berkata selain kempennya yang berjalan lancar setakat ini, beliau juga yakin bahawa akan menerima sokongan padu daripada pengundi terutamanya golongan B40 pada hari penentuan PRK itu.


“Sehubungan itu, saya akan mengambil peluang untuk terus berkempen mendekati masyarakat sebelum tempoh berkempen ini berakhir,” tambahnya.


Seorang lagi calon Bebas yang bertanding, Dr Ang Chuan Lock berkata walaupun untuk beliau menang amat tipis tetapi beliau yakin peluangnya masih ‘terbuka’ kerana yakin menerima sokongan positif daripada pengundi Parlimen Tanjung Piai.


“Sebelum ini memang saya kurang yakin tetapi selepas turun berkempen bertemu pengundi-pengundi, kebanyakan mereka memberi feedback dan sokongan positif kepada saya,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

Untuk rekod, PRK Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply