Hari Pertama E-Tunai, Rakyat Belanja RM10 Juta | Malaysia News

Hari Pertama E-Tunai, Rakyat Belanja RM10 Juta

PETALING JAYA – Tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go eWallet menerima sebanyak 380,000 permohonan untuk insentif e-Tunai Rakyat dengan 320,000 daripadanya sudah diluluskan setakat jam 10 malam tadi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, susulan itu pengguna telah membelanjakan sebanyak RM10 juta pada hari pertama e-Tunai Rakyat dilancarkan melalui tiga platform e-wallet berkenaan.

Menurutnya, pihak Kementerian Kewangan juga akan membuat pertimbangan bagi menambah peruntukan menerusi program tersebut sekiranya masih terdapat permintaan daripada rakyat.

“Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan bagi menambah peruntukan program e-Tunai Rakyat daripada RM450 juta yang diumumkan dalam Bajet 2020 jika wujud permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Pagi SS2 Jalan SS2/60 di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Ketika ditanya mengenai risiko data pemohon e-Tunai Rakyat disalahguna Guan Eng berkata, Khazanah Nasional Berhad merupakan pelaksana program e-Tunai Rakyat dan perkara seumpama itu tidak berlaku.

“Peraturan kita amat ketat dan tegas terhadap perkara ini kerana kita ada personal data protection act, maklumat dan data pemohon hanya dikongsi oleh kerajaan dan tidak kepada syarikat luar,” katanya.

“Pelaksanaan inisiatif transaksi tanpa tunai ini merupakan langkah penting ke arah ketelusan dan kebertanggungjawaban kerana ia adalah antara cara untuk kita menangani gejala rasuah,” katanya pada sidang media sempena kempen inisiatif e-Tunai Rakyat itu di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mana-mana maklumat peribadi yang disertakan bagi permohonan inisiatif itu, tidak akan dikongsi dengan pihak ketiga.

“Kita faham orang ramai bimbang jika aspek seperti corak perbelanjaan mereka akan disalahgunakan oleh pihak ketiga. Kita bukannya menjalankan satu perniagaan dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak atau pertubuhan mengaut untung daripadanya.

“Inisiatif ini adalah di bawah Khazanah Nasional Bhd yang juga dana kekayaan negara. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menerima arahan daripada kerajaan,” katanya.

Terdahulu, rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima RM30 melalui program e-Tunai Rakyat yang dilancarkan mulai semalam.

Program e-Tunai Rakyat adalah sebahagian daripada langkah Bajet 2020 diumumkan Kementerian Kewangan pada 11 Oktober lalu dan semua penerima boleh memilih salah satu daripada tiga pengendali e-dompet untuk menerima wang percuma RM30.

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •   
  •  
  •  

Leave a Reply