Hormat Orang Puasa, Debat Anwar-Najib Lepas Raya | Malaysia News

Hormat orang puasa, debat Anwar-Najib lepas raya

Debat Anwar Ibrahim - Najib Razak - Sapura Energy Berhad

Hormat orang puasa, debat Anwar-Najib lepas raya

Penyelaras yang mewakili presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak masih belum menetapkan masa dan tarikh perdebatan mereka mengenai isu Sapura Energy.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, kedua-dua kem itu mempunyai pandangan yang bertentangan mengenai bilakah debat itu perlu diadakan.

“Anwar bersedia untuk melakukannya segera tetapi pasukan Najib mahu beberapa hari selepas Hari Raya… saya rasa orang ramai mahu melihat debat itu segera,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil melalui catatan di media sosial kemudian berkata bulan puasa adalah masa untuk menumpukan soal ibadah, bukan berdebat.

“Kita tiada masalah kalau Anwar nak berdebat malam ini sekali pun, tetapi hormatilah orang-orang yang berpuasa dan bersolat tarawih beberapa minggu ini sahaja pun.

“Takkan nak mula debat semasa berpuasa atau selepas Tarawih dan habis tengah-tengah malam?

“Lepas habis bulan puasa, kita debatlah sepuas hati,” katanya pada hantaran di Facebook.

Umat Islam dijangka menyambut kedatangan Syawal pada 3 Mei depan.

Najib dan Anwar bersetuju untuk berdebat pada minggu lalu.

Fahmi berkata penyelaras kedua-dua pihak akan bertemu esok untuk menyelesaikan masalah.

Tambahnya, selain masa dan tarikh, perkara lain yang akan dibincangkan ialah rakan media dan moderator.

Isham juga mengesahkan kepada Malaysiakini, dia akan bertemu Fahmi esok.

Najib mahu debat itu disiarkan secara langsung dan beberapa agensi media dilaporkan sedang berbincang untuk menganjurkan majlis itu.

Kesatuan Pelajar Universiti Malaya telah menawarkan untuk menjadi penganjur. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply