Industri Pelancongan Perlukan Produk Baharu Bertaraf Premium | Malaysia News
Notice: sanitize_url is deprecated since version 2.8.0! Use esc_url_raw() instead. in /home/kulf6423/public_html/malaysiatopnews.com/wp-includes/functions.php on line 4652
Uzaidi Udanis - Presiden Majlis Pelancongan Malaysia

Industri pelancongan perlukan produk baharu bertaraf premium

Industri pelancongan negara memerlukan produk baharu terutama yang bertaraf premium, bagi menarik lebih ramai pelancong berkualiti berikutan ia semakin berkembang selepas dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis berkata penggiat industri perlu mengambil peluang dengan mewujudkan produk pelancongan seumpama itu kerana pelancong kini berminat dengan tarikan yang menjanjikan pengalaman unik.

“Pasaran pelancongan juga kini bertukar menjadi dinamik, sekali gus menyaksikan peningkatan kos pakej dan harga tiket penerbangan.

“Jadi takkan kita nak jual pakej pada harga biasa, produk kita hendaklah lebih premium untuk kita dapat tarik lebih ramai pelancong berkualiti, bukan (berdasarkan) kuantiti (sahaja),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Johor Sumpit Challenge and Aboriginal Festival 2022 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata produk pelancongan seperti JDT Hummer Tour dan Caravan Park di Johor merupakan antara produk berkualiti yang menjadi tarikan.

Uzaidi berkata pada masa sama, teknik pemasaran terbaik juga amat diperlukan berikutan industri pelancongan dunia ketika ini semakin sibuk.

“Semua orang hendak melancong, tetapi apa strategi pemasaran kita. Kena buat promosi, jadi lebih aktif dan beri perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Johor Sumpit Challenge and Aboriginal Festival 2022 anjuran Koperasi Jakun Asli Peta Mersing Berhad akan berlangsung pada 8 Ogos ini di Kampung Peta, di Taman Negara Endau-Rompin, Mersing.

Festival itu yang juga sebahagian daripada pakej ekopelancongan, menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan sumpit, persembahan kebudayaan Orang Asli dan menaiki rakit. [Bernama]

Facebook Comments