Islam Dan Melayu Hanya Di Lisan Bibir PAS | Malaysia News
February 23, 2024

Islam dan Melayu Hanya di Lisan Bibir PAS

Islam dan Melayu Hanya di Lisan Bibir PAS

Kuala Lumpur, MTN – ‘Sesungguhnya umat Islam itu bersaudara’. Itu lah asas konsep Islam universal yang menyatukan kita baik di waktu aman atau darurat.

Semalam Ketua Perhubungan Umno Terengganu, Dato Seri Ahmad Said, menyatakan Umno serta rakan BN lain tidak menerima apa-apa bantuan langsung dari kerajaan PAS Terengganu dari peruntukan RM10 juta bantuan krisis Covid-19 dari kerajaan Pusat.

Perlu diingat Umno-BN bersama PPBM merupakan rakan PAS dalam Perikatan Nasional. Mereka merupakan gabungan yang dikatakan kerajaan Melayu-Islam yang didominasi oleh tiga parti Melayu-Islam itu.

Kalau rakan satu angkatan Muafakat Nasional pun tidak dihulurkan bantuan Covid-19, apa pula nasib rakyat biasa yang lain yang di biarkan terpinggir di waktu mereka memerlukan bantuan serta pembelaan menjelang bulan ramadhan ini?

Minggu lepas saya telah menyuarakan keluhan rakyat biasa Terengganu yang bukan dari kalangan penyokong PAS yang tidak menerima apa-apa bantuan langsung.

Kerajaan PAS Terengganu menjawab bahawa mereka telah selesai fasa ketiga pembahagian bantuan. Yang nyata ramai rakyat bukan penyokong PAS belum menerima apa-apa bantuan.

Semalam sahihlah dengan pendedahan Ketua Perhubungan Umno Terengganu bahawa bantuan Covid-19 hanya diberi kepada penyokong PAS sahaja.

Amatlah mendukacitakan kerajaan Terengganu, yang diterajui parti yang mengakui sebuah parti Islam, mengamalkan diskriminasi pembahagian bantuan rakyat susah dalam negeri yang 97 peratus rakyatnya Islam- Melayu.

Sangat memalukan dibandingkan di Pantai Barat beberapa NGO swasta kecil membahagikan bantuan makanan percuma tidak mengira agama dan kaum sementara negeri digelar Kuwait Malaysia, bukan sahaja tidak mengeluarkan wang negeri untuk membantu rakyat umum, tetapi menafikan peruntukan kerajaan pusat yang diperuntukkan khas untuk bantuan Covid-19.

Enggan berkongsi kuasa

Pendedahan YB Dato Ahmad Said menunjukkan sikap disriminasi PAS walaupun di kalangan rakan satu angkatan, satu agama dan bangsa dalam PN.

Tuduhan ini juga disokong oleh seorang lagi mantan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Razif.

Ini juga mendedahkan PAS bukan sahaja enggan untuk berkongsi peruntukan bantuan untuk rakyat tetapi juga berkongsi kuasa di peringkat negeri.

Walaupun di peringkat pusat PAS memiliki 8 perlantikan menteri dan timbalan menteri, di negeri milik PAS tiada langsung lantikan dari Umno atau PN di dalam exco negeri.

Sebagai mantan menteri besar negeri, sekurang kurangnya Datuk Ahmad Said dan Datuk Razif tidak ingin berkongsi kuasa. Mereka hanya ingin menerima tetapi enggan memberi atau berkongsi.

Semasa kerajaan PH memerintah, kami bukan sahaja memberikan royalti terus kepada Terengganu, tetapi berbagai kementerian kerajaan PH juga menurunkan peruntukan masing-masing kepada negeri.

Hari ini, kerajaan PAS negeri tidak memberi langsung bantuan kepada rakyat biasa, selain dari penyokong parti sendiri, dan membiarkan rakyat lain dalam kesusahan di ambang menyambut bulan Ramadan yang mulia ini.

Di manakah semangat Islam yang bersaudara, baik di kalangan rakan mereka sendiri dari Perikatan Nasional, atau di kalangan rakyat Islam- Melayu Terengganu lain yang menghadapi kesusahan di negeri Darul Iman ini?

Amanat Hadi

Apapun slogan PAS menyatakan di bibir hari ini, sebenarnya pegangan perjuangan PAS masih berada pada amanat tahun 1981 di Banggol Peradong.

Amanat YB Haji Hadi Awang di Banggol Peradong masih mencorakkan politik mereka yang hanya percaya yang hanya diri mereka yang betul dan tiada akan boleh wujud kerjasama berkekalan yang bermakna dengan mana mana pihak lain. Inilah yang di alami oleh PN bersama Umno dan PPBM hari ini.

Peristiwa bersejarah Banggol Peradong amat mendalam kesannya di mana dalam suatu masyarakat tempatan keluarga diasingkan, suami isteri bertelagah dan komuniti berpecah belah.

Walaupun ini kurang di perkatakan hari ini, malangnya budayanya masih wujud di lubuk hati masyarakat tempatan PAS Terengganu terutamanya terhadap Umno.

Malangnya semasa masyarakat seluruh dunia hari ini boleh melupakan persengketaan dan perbezaan semasa menghadapi wabak Covid, seperti masyarakat Sunni dan Syiah serta rakyat Islam dan Yahudi yang boleh berdamai, tetapi kerajaan PAS Terengganu sangat menebal sikap pemusuhan mereka.

Hanya beberapa hari lagi tinggal sebelum bulan ramadan yang mulia tiba di mana yang susah amat mengharapkan bantuan. Malangnya sikap kerajaan PAS negeri Terengganu Darul Iman, masih meminggirkan sesama Islam dan Melayu sendiri di bulan yang mulia dalam menghadapi krisis global Covid-19.

Perlu kita renung makna apa yang ada pada nama ‘kerajaan Islam Melayu’ yang dilaungkan oleh PAS. Tidak ada taburan rakyat yang lebih ramainya Islam dan Melayu di Malaysia selain dari Terengganu.

Di antara empat negeri termiskin, tidak ada taburan rakyat termiskin nelayan serta petani yang lebih ramai di Malaysia selain dari Terengganu.

Inikah caranya sebuah kerajaan Islam memimpin negeri begelar Darul Iman di bawah kerajaan Islam Melayu?

Di dalam situasi hari ini nampaknya, “Islam-Melayu hanya di bibir, PAS sebenarnya bersendiri di hati”.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota Dewan Negara dari Terengganu dan pemimpin Amanah kebangsaan.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply