Kebuntuan Calon PM: Dr M Cari Jalan Keluar Secara Terhormat? | Malaysia News

Kebuntuan Calon PM: Dr M Cari Jalan Keluar Secara Terhormat?

Kuala Lumpur, MTN – Pada pilihan raya umum lalu, Dr Mahathir Mohamad melakukan perkara mustahil.

Beliau memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan kerajaan berusia enam dekad yang diterajuinya selama 22 tahun sebelum menjadi perdana menteri kali kedua pada usia 93 tahun.

Usahanya menubuhkan kerajaan perpaduan gagal apabila cadangan itu ditolak oleh kedua-dua belah pihak.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk Bersatu yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Umno, BN dan PAS yang disokong GPS Sarawak, memegang kuasa dengan kelebihan tipis dua kerusi.

Manakala PH yang kini digelar sebagai Pakatan Harapan (PH) Plus kerana disertai kumpulan Mahathir dan Parti Warisan, mendakwa memiliki sokongan untuk kembali menjadi kerajaan.

Namun, ada satu masalah yang harus diselesaikan sebelum PH Plus dapat melaksanakan rancangannya – siapa yang akan menjadi calon perdana menteri?

Adakah Mahathir akan menjadi perdana menteri kali ketiga pada usia 95 tahun, atau Anwar Ibrahim, 72 yang hanya tinggal sebelah kaki sahaja untuk melangkah ke jawatan itu lebih dua dekad lalu?

Berikutan pertemuan PH Plus pada Selasa lalu, Marzuki Yahya dari Bersatu yang berpihak kepada Mahathir mendakwa kata sepakat telah dicapai mengenai calon perdana menteri.

Tetapi kenyataan bersama kemudian mengatakan keputusan mengenai perkara-perkara yang belum diputuskan, akan dimuktamadkan hujung minggu ini.

Sumber mendakwa Mahathir masih mahu menjadi perdana menteri walaupun untuk jangka masa yang singkat, sedangkan Anwar tidak bersedia untuk mengalah.

Seorang pemerhati politik membuat spekulasi bahawa Mahathir mungkin mencari “jalan keluar secara terhormat” setelah negarawan yang sering digelar sebagai pakar dalam seni politik itu disingkirkan oleh Muhyiddin (gambar bawah).

Advertisement

“Tawaran Mahathir untuk menjadi PM lagi mungkin menjadi langkah untuk menyelamatkan air mukanya. Dia terbiasa mengakhiri kerjaya politiknya dengan gah dan bukan meminta seseorang mengakhiri kerjayanya.

“Muhyiddin telah menyingkirkan seorang tokoh politik besar di Malaysia. Ini sesuatu yang pahit bagi Mahathir.

“Mahathir lebih suka berada di barisan hadapan ketika PN tumbang dan bukan di barisan belakang dan menyaksikan orang lain, terutama Anwar mendapat sorotan lampu limpah.

“Mahathir ingin meninggalkan pentas politik dengan syaratnya sendiri, walaupun itu bermaksud dia adalah PM untuk beberapa bulan sahaja,” tambah pemerhati politik itu.

Namun, kata pemerhati berkenaan, Anwar, yang tidak asing dengan manipulasi politik Mahathir, sedar bahawa beberapa bulan adalah masa yang lama dalam politik dan keadaan boleh berubah.

“Anwar menerima pukulan dua kali untuk menjadi PM.

“Dia tidak mahu berlaku kali ketiga, yang hanya akan mengukuhkan legasinya sebagai perdana menteri menunggu, ”tambahnya.

Ada juga kemungkinan Mahathir dan Anwar akan dapat mencapai kompromi untuk menjamin masa depan politik bagi pewaris Mahathir, Mukhriz.

Tanpa pengaruh si bapa, Mukhriz sukar bertahan dan Mahathir mahukan jaminan bahawa anaknya tidak akan diketepikan.

Salah satu spekulasi yang muncul adalah Mukhriz dijadikan timbalan perdana menteri, sebagai pertukaran sokongan Mahathir untuk Anwar menjadi perdana menteri.[mk]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •