Kerajaan Harus Perjelas Sebab Jual MySejahtera Kepada Syarikat Swasta | Malaysia News

Kerajaan harus perjelas sebab jual MySejahtera kepada syarikat swasta

MySejahtera - Malaysia

Kerajaan harus perjelas sebab jual MySejahtera kepada syarikat swasta

Kerajaan harus memberikan penjelasan mengapa mengambil keputusan untuk menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta daripada membenarkan aplikasi itu di bawah kawal selia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga perlu menjawab persoalan mengapa penjualan aplikasi itu tidak dibuat melalui tender terbuka atas dasar ketelusan.

“Apa sebab-sebab MySJ Sdn Bhd menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbang tara untuk projek ini? Apakah kerajaan Malaysia sering menganugerahkan individu-individu atau syarikat-syarikat yang menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk manfaat rakyat Malaysia dengan kontrak yang lumayan?

“Apakah skop dan kepakaran MySJ Sdn Bhd terkait pengoperasian MySejahtera dan bagaimana KKM boleh memastikan data-data yang dikumpul oleh aplikasi itu tidak akan disalahguna oleh pihak ketiga termasuk MySJ Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini pada 24 Mac lalu, sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) telah membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan COVID-19 kepada sebuah syarikat swasta.

Keputusan kerajaan untuk ‘penyerahan’ ini telah diputuskan oleh Kabinet pada 26 November 2021 dan kebenaran telah diberikan oleh kabinet kepada KKM untuk melantik MySJ Sdn Bhd melalui mekanisme runding terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, pada Disember 2021, PAC telah mengesyorkan bahawa kerajaan sepatutnya mengambil alih operasi MySejahtera tanpa kos tambahan memandangkan aplikasi tersebut kini telah menjadi elemen penting dalam sistem kesihatan negara.

Mengulas lanjut, Anwar turut meminta kerajaan menjelaskan syarat-syarat kontrak tertakluk kepada jaminan yang dibuat KKM sebelum ini, tentang data kesihatan peribadi, dasar kerahsiaan MySejahtera dan undang-undang negara yang mengawal selia kerahsiaan data individu.

“Apakah peranan dan tanggungjawab MySJ Sdn Bhd dalam memastikan data yang dikongsi rakyat Malaysia melalui MySejahtera atas dasar mandat awam tidak akan digunakan sama sekali untuk tujuan pemasaran, pembangunan produk, pemantauan, mahupun untuk tujuan yang berunsur diskriminasi?” soalnya. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply