Sultan ingatkan semua ahli supaya melaksanakan janji-janji dalam PRN Johor


Sultan ingatkan semua ahli supaya melaksanakan janji-janji dalam PRN Johor
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini mengingatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya kekal fokus dan melaksanakan janji-janji atau ikhtiar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan portfolio masing-masing.
Baginda bertitah kepentingan rakyat di negeri ini mesti menjadi keutamaan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu bekerjasama dengan semua pihak serta menjalankan tugas dengan sebaiknya, sekiranya tidak mahu diganti oleh calon lain.
Jelas baginda tugas semua exco kerajaan negeri Johor sudah bermula daripada saat mereka mengangkat sumpah jawatan dan perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan jujur.
“Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.
“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco,” titah Sultan Ibrahim yang dimuat naik di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.
Terdahulu 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, pagi ini.
Mereka yang mengangkat sumpah adalah Ketua Pemuda UMNO Johor dan ADUN Larkin Mohd Hairi Mad Shah; Ketua Wanita Bahagian Ledang Khairin Nisa Ismail (ADUN Serom), Ketua Pemuda MIC Kebangsaan K. Raven Kumar (Tenggaroh), Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai), Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap) dan Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah).
Turut mengangkat sumpah, Ketua Puteri UMNO Kota Tinggi yang juga ADUN Johor Lama Norliza Noh, Ketua Pemuda MCA Johor Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh) dan Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir). [Bernama]
Author Profile

Latest entries
Tokoh2023.05.29PAS Bermimpi Ditawar Sertai Kerajaan, Kata TPM Zahid
National2023.05.28Seorang wanita sambut Mahiaddin ‘Selamat datang kluster mahkamah’
Top Issues2023.05.27Dana Judi: ‘Saya tak keluar kenyataan jika tiada asas’ – PM Anwar
Top Issues2023.05.26Dana Judi: Muhyiddin Yassin pertimbang saman PM Anwar