Konflik Russia - Ukraine Jejas Rantaian Bekalan Global | Malaysia News

Konflik Russia – Ukraine jejas rantaian bekalan global

Konflik Russia - Ukraine

Konflik Russia – Ukraine jejas rantaian bekalan global

Risiko besar yang dihadapi rantaian bekalan global kini beralih daripada pandemik kepada konflik Russia-Ukraine, yang mana ia akan mendorong kepada ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, demikian kata Moody’s Analytics.

Ia berkata, ketidakpastian mengenai konflik itu akan mendorong harga minyak dan gas asli yang lebih tinggi di seluruh dunia.

Katanya, rantaian bekalan global berada dalam keadaan rapuh sejak permulaan pandemik, dan konflik ketenteraan Russia-Ukraine hanya akan memburukkan lagi keadaan bagi syarikat dalam banyak industri, terutamanya yang sangat bergantung kepada sumber tenaga.

“Apa yang jelas ialah konflik ini pastinya akan memberi kesan kepada persekitaran inflasi yang semakin meningkat yang dialami kebanyakan negara.

“Ini seterusnya berkemungkinan membawa kepada langkah pengetatan oleh bank pusat, kadar faedah yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih perlahan,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Moody’s Analytics berkata, konflik berkenaan akan mempunyai implikasi yang lebih luas daripada yang mungkin mula-mula muncul, yang mana ia bukan saja mendorong negara untuk mempertimbangkan semula strategi mereka untuk keselamatan tenaga dan daya tahan rantaian bekalan.

Katanya, ia juga akan memberi kesan buruk kepada syarikat dan pengguna tanpa hubungan langsung dengan situasi itu melalui harga dan kadar faedah yang lebih tinggi.

Jelasnya, impak ekonomi konflik ketenteraan Russia-Ukraine terhadap rantaian bekalan global akan bergantung kepada tempoh konflik berlarutan.

“Inventori dan rizab boleh membantu mengurangkan gangguan rantaian bekalan jangka pendek, tetapi kekurangan akan tidak dapat dielakkan sekiranya konflik berterusan,” katanya.

Moody’s Analytics berkata, dari segi penilaian risiko negara, kesan buruk yang paling ketara akan dirasai di negara-negara terutamanya di Eropah yang mana adalah penerima minyak dan gas asli Russia.

Ia berkata, Eropah telah terperangkap dalam krisis tenaga walaupun sebelum konflik ketenteraan Russia-Ukraine bermula.

Katanya, harga tenaga di Eropah secara ketara menyimpang daripada harga minyak di seluruh dunia tahun lalu dengan sebahagiannya disebabkan oleh rangkaian pengedaran di Eropah dan terlalu bergantung pada beberapa pembekal utama.

“Russia memegang 12 peratus daripada bekalan minyak dunia dan 17 peratus daripada gas aslinya. Ia juga adalah pembekal utama paladium dan gandum, dan bersama-sama dengan Ukraine mempunyai sebahagian besar bekalan neon dunia,” katanya. [BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply