Kumpulan Azmin Ali sertai Bersatu secara rasmi sokong Muhyiddin

Kumpulan Azmin Ali sertai Bersatu secara rasmi sokong Muhyiddin
MTN – KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan penyertaannya dan pasukannya yang telah keluar PKR untuk menyertai Bersatu.
Pengumuman itu dibuat di hadapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Kongres Negara: BERSATU untuk Malaysia di ibu negara sebentar tadi.
Turut menyertai ialah pimpinan kanan Penggerak Komuniti Negara, NOW, Pemuda Negara, dan Wanita Muda Negara.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Negara, mengumumkan keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), hari ini.
Percaturan NGO demi memacu perpaduan negara dan menjamin kestabilan politik Malaysia itu sebahagian besarnya dianggotai serpihan PKR dan diterajui kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai G10.
Antara bekas ahli PKR dalam G10 ialah bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dua bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju; Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Pengumuman itu merasmikan kedudukan mereka sebagai sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), beberapa bulan selepas Azmin dan 10 anggota Parlimen keluar PKR untuk menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
“Dengan penuh rasa ikhlas dan hati yang tulus, pada petang yang keramat ini, saya dan ketumbukan, dari Perlis hingga ke Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Nation of Women (NOW), Pemuda Negara, Wanita Muda Negara dengan ini mengisytiharkan untuk menyertai Bersatu.
“Sekarang adalah masanya untuk Bersatu. Bersatu demi negara, Bersatu untuk Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Kongres Negara 2020, disaksikan Muhyiddin dan pemimpin utama parti itu yang lain.
Bertemakan Bersatu untuk Negara, kongres tersebut diadakan bagi mengumpulkan NGO-NGO yang berkaitan dengan bekas pemimpin PKR, iaitu Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Wanita Muda Negara dan Nation of Women (NOW).
Sejumlah 2,500 hadirin memenuhi Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur hari ini.
“Langkah Sheraton” pada Februari lalu membawa kepada tumbangnya pentadbiran PH dan perpecahan dalam PKR, dengan parti itu menyingkirkan pemimpin dan anggota yang dikaitkan dengan Azmin, yang ketika itu merupakan timbalan presiden.
Dalam ucapannya, Azmin turut menyentuh cabaran yang pernah dihadapi ketika bersama PKR, yang menurutnya diatasi melalui keputusan dan tindakan “strategik”.
“Namun, sehebat mana pun strategi dan pasukan kita, kejayaan dan kemenangan masa hadapan menuntut kita untuk memiliki seorang ‘Commander In Chief’ yang berwibawa, tegas dan berhikmah.
“Saya amat bangga dan berbesar hati kerana pada hari ini, diberikan penghormatan untuk berdiri di sisi ‘Commander In Chief’, Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia,” katanya.
Penyertaan kumpulan Azmin dalam Bersatu menjadikan parti itu mempunyai 32 ahli parlimen. Namun, ia masih berada di belakang DAP, Umno dan PKR dari jumlah ahli parlimen di Dewan Rakyat.
Selain pemimpin Bersatu, turut hadir hari ini ialah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dan beberapa pemimpin PN lain.
Tidak ada pemimpin Umno yang hadir tetapi Azmin pada sidang media kemudian menjelaskan bahawa Setiausaha Agung Umno Annuar Musa telah meminta maaf bagi pihak pemimpin parti mereka.
Dia juga mengatakan bahawa para pemimpin yang berkumpul hari ini akan berkempen untuk calon BN dalam pilihan raya Slim, serta pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin menolak dakwaan pelbagai pihak dengan menjelaskan langkah Sheraton tidak pernah wujud sehingga didakwa punca kejatuhan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH).
Beliau sebaliknya berkata, ia sekadar langkah kanan yang berkisar kepada keperluan untuk membuat keputusan nekad demi kelangsungan dan masa depan Malaysia.
“Bukan mudah nak cari kepemimpinan unggul, ada ucapan yang harus kita kena renungkan, nasihat untuk dipertimbangkan, tetapi akhirnya kena berani buat keputusan demi menyelamatkan negara dan bangsa.
“Puas sudah kami renungkan, saya dan rakan pimpinan akar umbi terlihat kelibat insan dari Pagoh, berjiwa besar, bekerja kuat, pemimpin unggul.
“Oleh itu, kami buat keputusan sebegini dan saya yakin kerajaan ini tidak akan membiarkan sesiapa melukut di tepi gantang, kita akan memurnikan demokrasi,” katanya.
Author Profile

Latest entries
InternationalApril 22, 2025PM Thailand gesa kerjasama pelbagai hala tangani cabaran rentas sempadan
IT & Social MediaApril 21, 2025Semua video YouTube akan dialih bahasa secara automatik
NationalApril 16, 2025Malaysia promosi kempen pelancongan 2026 dengan Indonesia
IT & Social MediaApril 15, 2025Perbicaraan kes antimonopoli terbesar terhadap Meta di Washington