Larangan Merokok Mulai 2020 Di Semua Kawasan Tempat Makan | Malaysia News

Larangan Merokok Mulai 2020 di Semua Kawasan Tempat Makan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan larangan menghisap rokok dan vape di semua tempat makan di seluruh Malaysia, dikuatkuasakan bermula tahun 2020.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250, namun boleh dikurangkan ke RM150, jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan.

“Kalau degil (dan) tidak mahu bayar boleh dikenakan saman maksimum hingga RM10,000,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kerintangan Antimikrob (AMR) yang dianjurkan di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Seminar sehari itu menumpukan kepada bahaya dan ancaman AMR, satu keadaan di mana mikrob seperti bakteria, virus, fungus dan parasit, menjadi imun terhadap ubat dan antibiotik.

Dr Lee berkata, gerakan anti merokok yang telah dimulakan sejak kebelakangan ini, telah secara signifikasinya berjaya mengurangkan jumlah perokok di tempat makan, terutamanya di kawasan bandar.

“Kami berharap polisi ini akan mendapat sokongan daripada orang ramai. Bagi mereka yang tidak merokok, tentu sekali mereka gembira (namun) bagi perokok, saya amat berharap mereka akan mengunakan peluang ini untuk berhenti, mengurangkan ataupun menjadikan tabiat untuk tidak merokok di hadapan orang lain,” katanya dan menambah, kira-kira 21 peratus orang dewasa Malaysia adalah perokok.

-Bernama

Facebook Comments