Mahathir: Bersatu Kini Terkontang-kanting, Akan Kalah Teruk PRU15 | Malaysia News

Mahathir: Bersatu kini terkontang-kanting, akan kalah teruk PRU15

Mahathir: Bersatu kini terkontang-kanting, akan kalah teruk PRU15

Pada ulang tahun kedua kemenangan PH pada PRU ke-14, Dr Mahathir Mohamad memberi peringatan kepada anggota Bersatu untuk menilai semula kedudukan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu ucapan menerusi rakaman video, pengerusi Bersatu itu membangkitkan hubungan antara Umno dan Bersatu, dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan baru-baru ini berkata parti itu tidak pernah menyertai PN dan gabungan itu bukanlah berdaftar seperti BN.

“Di satu pihak kita tak dapat sokongan daripada Umno, di pihak lain (Bersatu) juga tidak mendapat sokongan daripada PH.

“Jadi Bersatu tinggal terkontang-kanting, tak ada daratan, tak tahu di mana.

“Sudah tentu jika ada pilihan raya, tak mungkin Bersatu kekal (sebagai kerajaan) pun,” kata bekas perdana menteri itu.

Katanya lagi, besar kemungkinan Bersatu akan kalah teruk dalam PRU akan datang dan harapan orang Melayu untuk melihat Umno digantikan sebuah parti berasaskan Melayu yang lain tidak akan tercapai.

Menurut Mahathir lagi, Umno telah menyatakan komitmennya untuk bertanding di semua kerusi tradisinya pada PRU akan datang, dan itu bermakna kerusi yang ditandingi dan juga dimenangi Bersatu.

“Ahli Bersatu…harus sedar bahawa janji Muhyiddin untuk mengadakan satu gabungan bersama Umno dan PAS tidak wujud,” katanya lagi.

Kebimbangan sama disuarakan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir minggu lalu, dan menyifatkan satu-satunya pilihan parti itu adalah untuk kembali kepada PH.

Kerajaan PH yang dipimpin Mahathir tumbang pada akhir Februari lalu apabila Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu, membawa keluar parti itu daripada gabungan tersebut.

Beliau bersama sejumlah anggota Parlimen PKR yang diketuai Azmin Ali kemudian menubuhkan kerajaan PN bersama-sama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Langkah Muhyiddin itu membawa perpecahan dalam Bersatu apabila Mahathir membantah tindakan itu dan kekal sebagai pembangkang di Dewan Rakyat bersama-sama empat anggota Parlimen lagi.

Dalam pada itu, Mahathir meminta anggota Bersatu melihat kembali sebab mereka menyertai parti itu dan menilai semula kesetiaan mereka.

“Fikirlah dengan mendalam. Ya kita patut setia tetapi jangan setia kepada pemimpin (begitu saja). Pastikan pemimpin itu berjuang untuk bangsa, negara dan agama, baru kita boleh setia kepada mereka.

“Orang yang hanya berjuang untuk dirinya…Walaupun dia pemimpin kita, janganklah kita rosakkan diri kita dengan setia kepadanya,” katanya lagi.

Khamis lalu, Marzuki Yahya menyangkal dakwaan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu membuat keputusan untuk meninggalkan PH dalam mesyuarat pada akhir Februari lalu.

Beliau merupakan setiausaha agung parti pada masa itu. Statusnya kini dalam pertikaian apabila Muhyiddin melantik Hamzah Zainuddin ke jawatan itu, yang disifatkan Mahathir sebagai tidak sah. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply