Selepas hu-ha sana hu-ha sini, setelah penafian demi penafian, akhirnya Bersatu ‘mengotakan’ janjinya dengan menerima 7 Ahli Parlimen Umno menjadi ahlinya. Dengan itu MP Bersatu sekarang menjadi 22 dari 14 sebelumnya (termasuk Tok Pa) dan PH menguasai 128 kerusi di parlimen semakin dekat untuk menguasai dua pertiga parlimen.
Banyak persoalan bermain di minda rakyat terutama yang telah menyokong dan memenangkan PH dalam PRU15 yang lalu. Tentunya mereka semua mengharapkan Malaysia Baru menjadi kenyataan dan hidup mereka menjadi bertambah baik, lebih baik dari zaman Najib sebelum PRU15.
Kenapa baru sekarang diterima? Apakah mereka telah ditapis seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini? Apakah mereka ini telah menepati syarat seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi and Presiden Bersatu?
Semua itu menjadi tanda-tanya yang besar. Sudahkah pasti mereka ini tidak akan menimbulkan masalah dalam Bersatu lebih-lebih lagi dalam PH? Atau mereka sebenarnya akan digunakan untuk menimbulkan masalah dalam PH?
Siapa tak kenal dengan Hamzah Zainuddin yang celupar dan bermasalah itu? Siapa tak kenal Shabudin Yahya yang penuh kontroversi itu? Takkan kita tak tahu mereka itulah kaki bodek Najib dan beriya-iya mempertahankan Najib seolah-olah Najib itu malaikat.
Betul kita tidak boleh 100% menilai sejarah silam seseorang apatah lagi bila mereka telah berubah? Apakah Hamzah dan Shabudin telah benar-benar berubah? Apakah kenyataan dan perkara yang telah dilakukan untuk membuktikan mereka telah insaf dan berubah? Apakah mereka telah kembalikan wang 1MDB seperti yang didakwa Najib beri kepada semua Ketua Bahagian Umno?
Persoalan inilah yang memberi gambaran seolah-olah PH dan Malaysia Baru telah hilang plot dan skripnya. Dan ada yang mula membayangkan yang Harimau Bintang telah menunjukkan semula bintangnya seperti kata pepatah Inggeris “Leopard cannot hide its spots”.
Apakah kemasukan MP Umno ke dalam Bersatu untuk menguatkan Bersatu menjadi kuasa tawar-menawar dalam PH? Yang kemudiannya Bersatu akan menjadi seperti Umno, sangat dominan dan membuli parti-parti lain dalam PH.
Apakah penghijrahan MP Umno itu akan menyebabkan PH menguasai dua pertiga parlimen yang memboleh Mahathir dan PH wewenangan menggubal undang-undang ikut nafsu serakah mereka? Maka akan berulang sejarah Malaysia 1.0 dan BN 1.0.
Apakah jembalang-jembalang Umno itu akan digunakan untuk menjalankan konspirasi lagi untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8?
Sepertimana hu-ha hu-ha dan u-turn yang baru kita saksikan ini, tidak mustahil andaian di atas menjadi grand design master tactician itu.
Mari kita sama-sama saksikan.
WAI TEE
13 Februari 2019