Mahathir

TUN MAHATHIR TIDAK IKHLAS MAHU PULIHKAN NEGARA, KEUTAMAANNYA HANYA NAK KETEPIKAN ANWAR

Anwar Ibrahim

Hari demi hari, apa yang nyata di depan mata ketika ini ialah sokongan rakyat terhadap kerajaan dan PH semakin merosot dan berkurangan.

Bukan saja rakyat biasa atau atas pagar yang makin kecewa, malah pengundi PH sendiri ramai yang patah hati serta seakan-akan menyesal memenangkan gabungan itu menjadi kerajaan.

Asas kekecewaan dan patah hati itu tidak lain ialah kerana kerajaan baru ini tidak seperti yang diharap-harapkan atau dibayangkan sebelumnya.

Kata-kata manis ingin menyelamatkan Malaysia hanyalah sekadar menuduh Najib Razak dan beberapa pemimpin lain di mahkamah, tetapi proses perbicaraannya ternampak terlalu lambat, selain banyak kelemahannya.

Senandung yang dinyanyikan mahu memulihkan negara pula masih lagi kabur dan tidak jelas di mana kedudukan ekonomi, peluang perniagaan, kewujudan pekerjaan baru dan janji terhadap anak muda kekal tergantung di awang-awangan.

Janji manifesto dan dan kata-kata manis mahu menghapus itu dan ini ketika berkempen jangan cerita lagilah – kalah ayat-ayat cinta yang biasa dilafazkan oleh pasangan yang asyik mahsyuk di alam percintaan.

Betapa begitu meluat kepada kerajaan, walaupun dalam PRU14 lalu mengundi PH, sehingga ada yang mencadangkan agar diadakan semula pilihanraya baru dalam waktu terdekat ini, di samping PH sudah dinamakan sebagai Pakatan Haprak, Pakatan Hancing dan Putus Harapan

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin telah beberapa kali menegur kelemahan kerajaan serta mengingatkan tentang kemungkinan ditolak dalam pilihanraya akan datang.

Apakah yang menyebabkan semua itu berlaku?

Meskipun banyak sebab boleh disandarkan, tetapi punca paling utama dan terbesar mengapa kekecewaan rakyat ini makin melata adalah kerana Tun Mahathir Mohamad sendiri.

Meskipun Tun Mahathir merupakan nama besar, ada aura dan berpengalaman selama 22 tahun sebelum ini, namun kembalinya beliau buat kali kedua ke puncak kuasa lebih menjadikan dirinya dibelenggu oleh dendam yang tak berkesudahan.

Pertama, dendam beliau kepada Najib dan kedua, dendamnya kepada Anwar Ibrahim.

Dendam kepada Najib yang bermula daripada tidak mendengar nasihat serta kata-katanya sedang diselesaikannya melalui proses undang-undang dan disusuli dengan pelbagai usaha untuk melumpuhkan UMNO.

Tidak berjaya dengan permintaan agar UMNO dibubarkan, satu demi satu pemimpin dan Ahli Parlimen parti itu ditarik menyertai Bersatu.

Walaupun selalu mengatakan kedudukan pembangkang yang kuat adalah baik untuk negara dan umpama cermin kepada kerajaan, hakikatnya Tun Mahathir lebih mahukan UMNO dilumpuhkan sama sekali bagi melepaskan dendamnya kepada Najib.

Dendam kepada Anwar adalah masalah paling besar bagi Tun Mahathir. Beliau telah memecat bekas timbalannya itu pada 1998 dengan tujuan menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri.

Mengikut perancangannya, dengan dua sabitan kesalahan yang dijatuhkan iaitu berkaitan rasuah dan liwat, Anwar sekurang-kurangnya akan mendekam dalam penjara selama 20 atau 25 tahun lamanya dan akan menjadi terlalu tua untuk kembali lagi dalam politik sebaik hukumannya berakhir.

Tetapi, setelah berundur pada 2003 dan selepas itu menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Badawi yang dipercayainya, dengan perancangan Tuhan, Anwar kemudian telah dibebaskan oleh penggantinya itu pada tahun 2004.

Di situlah bermulanya dendam Tun Mahathir kepada Tun Abdullah, selain disebabkan pembatalan projek Jambatan Bengkok, di mana akhirnya beliau keluar daripada persaraan dan berjaya mengundurkan penggantinya itu pada tahun 2009.

Bagaimanapun, pembebasan Anwar oleh Tun Abdullah telah berjaya membina kekuatan kepada gabungan pembangkang bermula daripada pilihanraya 2008 hingga akhirnya BN berjaya ditumbangkan pada 2018 yang lalu.

Disebabkan dendam dan ingin menjatuhkan Najib, Tun Mahathir tiada pilihan selain perlu bekerjasama dengan PH. Untuk melonjakkan lagi sokongam rakyat terhadapnya, beliau juga tiada pilihan selain mesti berbaik dan berdamai semula dengan Anwar.

Hanya setelah berbaik-baik dengan Anwar, merapatkan hubungan dengan Dr. Wan Azizah dan Nurul Izzah, barulah selepas ini keyakinan rakyat kepada perubahan tambah meluap-luap.

Lagi pula, dalam usia sudah mencecah 93 tahun, tiada siapa terfikir Tun Mahathir masih ada dendam lagi kepada Anwar. Lantaran itu beliau dipilih sebagai calon Perdana Menteri dan Anwar adalah pengganti selepasnya.

Hanya setelah PH menang pilihanraya dan beliau kembali semula sebagai Perdana Menteri, barulah segala-galanya nampak nyata.

Bermula dengan perlantikan Azmin Ali, susunan kabinet sehinggalah kepada pengisian Majlis Tindakan Ekonomi dan tidak henti-henti menguatkan dirinya melalui sokongan musuh lama iaitu UMNO, yang jelas ialah Tun Mahathir tidak benar-benar ikhlas ada keinginan untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonominya demi faedah rakyat seluruhnya.

Keinginan sebenar Tun Mahathir selepas berjaya menyingkirkan Najib hanyalah bagaimana merencana agar Anwar tidak jadi Perdana Menteri selepasnya.

Dengan persetujuan bahawa beliau hanyalah Perdana Menteri sementara sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, dalam tempoh dua tahun ini Tun Mahathir sepatutnya tidak langsung cuba bermain politik, tetapi menumpukan sepenuh tenaga dan kudrat tuanya untuk rakyat, negara dan menunaikan janji-janji dalam manifesto.

Kalau beliau ikhlas mahu menyelamatkan Malaysia dan memulihkan ekonomi negara tanpa sibuk-sibuk mencatur sana mencatur sini dan menyusun sana menyusun sini untuk menghalang kemaraan Anwar, dalam tempoh hampir sembilan bulan yang berlaku ini mungkin telah banyak kejayaan dan nikmat mampu dikecapi oleh rakyat di bawah jenama Malaysia Baru ini.

Malangnya, oleh kerana tiada keikhlasan itu dan keutamaan semata-mata untuk mengenepikan Anwar, Malaysia Baru terus caca-carba dan celaru dengan permainan politik berasaskan dendam Tun Mahathir yang mungkin hanya akan berakhir dengan kematiannya.

(Shahbudin Husin)

Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Post Author: ab bima

Leave a Reply