KALAU TUN M NAK GANTIKAN BERSATU JADI UMNO 2.0, APA RELEVAN PKR, DAP, AMANAH PERTAHANKAN PH
KALAU TUN M NAK GANTIKAN BERSATU JADI UMNO 2.0, APA RELEVAN PKR, DAP, AMANAH PERTAHANKAN PH
Matlamat utama perjuangan PH dalam PRU14 lalu, selain mahu menyingkirkan Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, juga ialah untuk mengenepikan UMNO daripada puncak kuasa.
Alasannya kerana UMNO bukan lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan orang Melayu, tetapi telah bertukar menjadi parti yang digunakan untuk membela Najib semata-mata.
Di ketika yang sama didendangkan pula bahawa Bersatu adalah wadah baru yang akan menjadi pengganti kepada UMNO.
Apabila akhirnya PH diberikan kemenangan melalui peti-peti undi, maksud yang mudah difahami ialah rakyat telah menolak UMNO bersama para pemimpinnya sekali.
Dalam ertikata lain, rakyat tidak percaya lagi kepada para pemimpin UMNO untuk mentadbir negara ini, sebaliknya mahu mereka diganti dengan pemimpin-pemimpin baru yang tiada liabiliti atau skandal sebagaimana sebelumnya.
Di peringkat awal kemenangan, Tun Mahathir Mohamad sendiri tegas mengatakan PH tidak akan menerima mana-mana pemimpin UMNO yang mahu menyertai Bersatu atau lain-lain parti dalam gabungan yang sudah menjadi kerajaan itu.
Dengan peredaran masa apabila ada beberapa Ahli Parlimen UMNO keluar parti, Tun Mahathir kemudian berkata, mereka yang terbabit itu mestilah menjadi Ahli Parlimen Bebas dalam tempoh tertentu terlebih dahulu atau tempoh bertenang sebelum boleh diterima menyertai Bersatu.
Apabila disebut ada tempoh bertenang sebelum boleh memohon menjadi ahli, tempoh yang biasanya ditetapkan ialah sekurang-kurangnya enam bulan, setahun atau lebih daripada itu.
Sayangnya, Tun Mahathir nyata mungkir janji dengan kata-katanya sendiri. Mustapha Mohamad, Ahli Parlimen Jeli tiba-tiba diterima menjadi ahli Bersatu hanya kira-kira sebulan selepas beliau mengumumkan keluar UMNO.
Begitu juga dengan enam Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti pada Disember lalu, kemasukan mereka ke dalam Bersatu telah disahkan semalam, sambil terus diberikan kad keahlian.
Di Sabah pula, para pemimpin UMNO yang mengumumkan keluar parti baru-baru ini masih tidak henti-henti berusaha dan melobi untuk membawa Bersatu ke negeri tersebut.
Meskipun sudah ada perjanjian dengan Warisan, Tun Mahathir dalam perkembangan terbaru, juga dinyatakannya semalam, pihaknya tidak terikat dengan pendirian parti tersebut sama ada memutuskan mahu melebarkan sayapnya ke Sabah atau tidak.
Dalam waktu yang sama, dikhabarkan juga ada lagi beberapa Ahli Parlimen UMNO bakal menyeberang untuk menyertai Bersatu dalam waktu terdekat ini.
Selain difahami bahawa tujuan utama Tun Mahathir menarik satu demi satu gerombolan pemimpin UMNO menyertai Bersatu adalah untuk menguatkan kedudukannya dan sekaligus membolehkannya memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, persoalan lain yang timbul ialah apa jadi akhirnya kepada parti serpihan UMNO itu?
Tidakkah Bersatu perlahan-lahan akan bertukar menjadi UMNO 2.0 sudahnya?
Jika Bersatu sudah bertukar menjadi UMNO 2.0, bukankah perjuangan menumbangkan UMNO sebelum ini hanya sia-sia belaka?
Sebab itu, sudah sampai masanya Majlis Presiden PH mengambil satu ketetapan tegas dalam hal ini. Membiarkan Tun Mahathir menjadikan Bersatu sebagai UMNO 2.0 dan PKR, DAP serta Amanah terus bekerjasama dengan parti itu tentu saja mengundang rasa kecewa tak terperi kepada rakyat yang telah memenangkan PH dalam pilihanraya umum lalu.
Tun Mahathir selaku Pengerusi PH seterusnya mesti disedarkan bahawa PH bukanlah BN 2.0 di mana beliau selaku Perdana Menteri boleh bertindak sesuka hati dan semua orang lain mesti menurut kata-katanya sebagaimana beliau berkuasa selama 22 tahun sebelum ini.
Malah, kiranya Majlis Presiden gagal mengawal Tun Mahathir dan membiarkan UMNO 2.0 berada dalam PH, sejujurnya PKR, DAP dan Amanah tidak relevan lagi untuk terus berada dalam gabungan kerajaan itu.
(SHAHBUDIN HUSIN)
Author Profile
Latest entries
- PolitikMarch 18, 2020Perutusan Khas Muhyiddin: Rakyat Malaysia Tiada Dibagi Solusi!
- OpinionMarch 17, 2020Jangan Cakap Banyak Sangat Tun M, Nanti Terjangkit Covid-19 Baru Tau!
- Top NewsMarch 17, 2020Anwar Ibrahim Sampaikan Duka Wafatnya Dua Korban Terjangkit Covid-19
- Kabar LainFebruary 26, 2020Jangan Fikir Pelik Sangat Tun, Kerajaan Perpaduan itu Luar Biasa di Negara Demokratik?