Anwar Ibrahim

SELEPAS SATU LAGI JANJI DIMUNGKIRI, BUKAN SAJA ANWAR AKAN DISINGKIRKAN, MALAH PH JUGA BAKAL DIHANCURKAN

Anwar Ibrahim Salah satu kepakaran dan kehebatan Tun Mahathir Mohamad yang tidak ada pada mana-mana pemimpin lain sama ada di Malaysia juga di dunia, ialah keupayaannya memungkiri janji serta mencipta alasan bagi menghalalkan tindakan itu. Ketika bersara pada 2003, Tun Mahathir berjanji akan menjadi pesara sepenuhnya serta tidak akan mengganggu tugas-tugas penggantinya, Tun Abdullah Badawi. Ketika mengasak pengunduran Najib Razak dan didesak agak bertanding semula dalam pilihanraya, Tun Mahathir berkata, beliau sudah berjanji kepada dirinya untuk tidak lagi kembali menjadi Ahli Parlimen. Akhirnya, kedua-dua janji itu telah dimungkirinya dengan alasan yang diciptanya sendiri. Selepas PH menang pada PRU14 yang sebahagiannya kerana rakyat terpesona dengan janji-janji yang terkandung dalam Buku Harapan, beliau kemudiannya dengan selamba memberi alasan, buku itu bukanlah kitab suci yang wajib dipatuhi sebagai sandaran untuk memungkiri janji tersebut. Sebelum PRU14 juga Tun Mahathir telah mengikat perjanjian dengan Warisan bahawa parti itu tidak akan dikembangkan ke Sabah. Namun, setelah pada awalnya macam mahu bersungguh-sungguh berpegang pada janji itu, Tun Mahathir hari ini sekali lagi mungkir janji dengan menegaskan Bersatu tetap akan dilebarkan sayapnya ke Sabah. Beliau memberi hujah tujuan mengembangkan sayap Bersatu ke Sabah ialah untuk menguatkan kedudukan Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah. Rasanya semua orang, malah Shafie sendiri pun akan tergelak panjang dengan hujah reka-rekaan yang disebut Tun Mahathir ini. Ia sebiji macam alasan lelaki yang rajin minum kopi Tongkat Ali yang tiba-tiba ingin menambah isteri, tetapi memberi alasan ia bertujuan meringankan beban isteri yang pertama. Kalau mahu dihitung, sebenarnya banyak lagi janji atau kata-kata yang Tun Mahathir mungkiri atau beliau melakukan Pusingan U, baik ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, setelah bersara dan kemudian kembali menduduki puncak kuasa di Putrajaya. Ia memberi gambaran bahawa berjanji dengan Tun Mahathir adalah sesuatu yang sukar untuk diharapkan roti canai tidak bertukar menjadi capati. Barangkali hanya janjinya kepada Tun Siti Hasmah Mohd Ali dan kepada anak-anaknya saja yang tidak pernah dimungkirinya. Yang nyata, selagi ada yang taksub dan menganggap Tun Mahathir seolah-olah maksum serta boleh berbuat apa saja, selagi itulah beliau akan terus mungkir janji dengan pelbagai alasan serta disokong oleh mereka yang hampir buta hati itu. Dengan pelbagai janji yang telah dimungkirinya selama ini, perhatian semua orang kini ialah berhubung janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun selepas kemenangan PH menumbangkan BN pada 9 Mei 2018 lalu. Sehingga ini pun, beliau tidak pernah tegas berkenaan janji hanya menjadi Perdana Menteri selama dua tahun itu dan ayat yang kerap disebutnya hanyalah – mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin juga kurang. Di suatu ketika yang lain, beliau malah mengusik Anwar yang duduk di sebelahnya, “kalau Anwar beri izin, dapatlah dua tahun setengah jadi Perdana Menteri.” Sebenarnya, itu adalah sebahagian cara Tun Mahathir melekakan orangramai berhubung janjinya kepada Anwar. Dengan pelbagai gerakan yang dilakukannya akhir-akhir – membawa semakin ramai Ahli Parlimen UMNO melompat menyertai Bersatu dan memungkiri janji terhadap Warisan yang secara automatiknya akan menjadikan semua Ahli Parlimen, Adun serta Ketua Bahagian Sabah yang mengumumkan keluar UMNO baru-baru ini sebagai ahli dan pemimpin Bersatu, tiada lain yang harus Anwar lakukan selain mestid lebih berhati-hati dan memantau setiap perkembangan yang berlaku setiap hari. Di sebalik semua itu, selain bertujuan memungkiri janji menyerahkan jawatannya kepada Anwar, Tun Mahathir dalam waktu yang sama seolah-olah sedang berusaha mahu menghancurkan PH secara perlahan-lahan dengan menjinakkan pemimpin tertentu dalam PKR, DAP dan Amanah dengan kedudukan, jawatan serta keselesaan hidup yang tak pernah mereka terbayang mampu menikmatinya selama ini. Dengan keselesaan, kemewahan dan gaji melebihi RM50 ribu sebulan beserta pelbagai kemudahan lain, mereka bukan saja lupa kepada ageda reformasi yang diperjuangkan sejak 20 tahun lalu, malah terpaksa akur dengan apa saja yang Tun Mahathir lakukan. – Shahbudin Husin
Spread the love
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share

Post Author: ab bima

Leave a Reply