Malaysia, Indonesia, Brunei Gesa Sidang PBB Untuk Palestin | Malaysia News

Malaysia, Indonesia, Brunei gesa sidang PBB untuk Palestin

Muhyiddin - Jokowi - Sultan Hassanal Bolkiah

Malaysia, Indonesia, Brunei gesa sidang PBB untuk Palestin

Shah Alam, MTN – Malaysia, Indonesia dan Brunei menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Sidang Perhimpunan Agung PBB bagi mencapai resolusi damai untuk Palestin dan Israel, seterusnya mengakhiri kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Gesaan itu dilakukan menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi serta Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Ketiga-tiga pemimpin itu menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk tetap tegas mempertahankan garis sempadan ‘penyelesaian dua negara’ demi mencapai kemerdekaan negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Kami menyeru semua pihak untuk menahan diri secara maksimum, menghentikan serangan terhadap orang awam untuk mengambil langkah menenangkan keadaan dan menegakkan undang undang serta ketenteraman antarabangsa.

“Kami mendesak kedua-dua pihak untuk menerima kehadiran antarabangsa sementara di Bandar Al Quds bagi memantau penghentian permusuhan di Wilayah Pendudukan Palestin.

“Kami juga menggesa Majlis Keselamatan PBB bertindak segera dan mengambil semua langkah yang mungkin untuk menjamin keselamatan serta perlindungan orang awam di seluruh wilayah Palestin yang diduduki dengan mengingati masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB, secara khususnya mempunyai tanggungjawab khas menghentikan semua keganasan dan memenuhi tanggungjawabnya menegakkan keamanan antarabangsa,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kenyataan Bersama Muhyiddin - Jokowi - Sultan Hassanal Bolkiah

Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga pemimpin menyifatkan tindakan kekejaman yang dilakukan tentera Israel secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia.

Justeru, ia wajar dikenakan tindakan segera bagi memastikan mereka dipertanggungjawabkan atas pelanggaran tersebut.

“Kami mengulangi solidariti kami dan komitmen kepada rakyat Palestin termasuk hak mereka untuk penentuan nasib sendiri serta penciptaan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Kami bersedia menyokong usaha antarabangsa yang bertujuan untuk mencapai keamanan yang komprehensif, adil dan berkekalan di Timur Tengah berdasarkan resolusi PBB yang relevan dan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan,” ujar mereka. [SH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply