Maszlee: Bersatu Bakal Jadi Parti Paling Marginal pada PRU-15
Maszlee: Bersatu Bakal Jadi Parti Paling Marginal pada PRU-15
Kuala Lumpur, MTN – Bersatu akan menjadi pihak ketiga yang paling marginal dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi berdepan Pakatan Harapan (PH) dan Muafakat Nasional.
Bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata secara jujurnya beliau masih kabur melihat hala tuju parti itu ketika ini yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Di kala itu, sekiranya kita tidak melakukan apa-apa, soalan saya, di manakah kedudukan Bersatu?
“Ke PH tidak, ke Muafakat Nasional pun tidak. Kita menjadi pihak ketiga yang paling marginal berhadapan dengan dua blok PH dan Muafakat Nasional pada PRU-15 nanti.
“Apakah nasib Bersatu pada waktu itu nanti? Apakah masih ada masa hadapan buat parti keramat ini?” tulis Maszlee dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Jelas Maszlee secara jujur beliau masih kabur dengan arah tuju perjalanan parti itu ketika ini berbanding ketika Bersatu di dalam PH dengan identiti yang jelas.
“Ketika kita (Bersatu) menjadi komponen penting dalam PH dahulu. Identiti kita jelas, orang Melayu berlindung di rumah Bersatu dalam PH.
“Kaum lain boleh berlindung di rumah lain dan kita cuba hidup seadil yang mungkin (walaupun kadangkala kita tergigit lidah),” katanya.
Pada 24 Februari lalu, Bersatu melalui presidennnya, Muhyiddin Yassin membuat keputusan meninggalkan PH yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH mentadbir negara tidak sampai dua tahun.
Keputusan Bersatu untuk meninggalkan PH disusuli dengan tindakan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama kem yang turut bertindak keluar parti dan meninggalkan PH.
Selepas itu ia menyaksikan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad ketika itu membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.
Pada 9 Mei lalu, Ketua Penerangan Bersatu Dr Radzi Jidin berkata Mahathir turut terbabit dalam usaha membawa keluar parti itu daripada PH.
Bagaimanapun, dua hari lalu Mahathir tampil menjawab dakwaan Radzi bahawa tiada alasan untuk beliau membawa Bersatu keluar PH Februari lalu.
Semalam, rakaman suara yang dikatakan semasa mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu sebelum parti itu keluar PH beredar di Internet.
Dalam rakaman itu, suara yang mirip dengan Muhyiddin memberitahu mesyuarat supaya memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir untuk memutuskan sama ada akan kekal atau meninggalkan PH.
Kemelut politik itu kemudian menyaksikan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama BN, PAS dan GPS.
Dalam masa sama kata Maszlee, beliau bimbang apabila Umno dan BN hanya menerima kerajaan PN sehingga PRU-15 saja.
“Majlis Tertinggi (MT) Umno telah memutuskan bahawa mereka melalui Muafakat Nasional akan menggempur semua kerusi-kerusi yang dipertandingkan oleh Bersatu dan sekutu Bersatu di dalam PRU 15 nanti.
“PN hanyalah hubungan sementara bagi Umno,” tulis beliau.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri